Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 14 Mei – Usaha memperkukuh pembangunan teknologi hijau dan mempercepatkan kemajuan industri berasaskan unsur nadir bumi (REE) di Kelantan mencatat satu pencapaian penting apabila Gemilang Perkasa Mineral Sdn Bhd (GPM) dukungan Kumpulan COSMOS menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Kelstone Sdn. Bhd. (Kelstone).
Kelstone diwakili Pengarah Eksekutif Dato’ Sr. Zamri Ismail yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bersama Pengurus Besar P.Geol Phakhruddin Abdullah manakala GPM diwakili Pengarah Urusan Azaizuree Ahmad memeterai perjanjian tersebut di Pejabat Timbalan Menteri Besar, di Mabna, pada Selasa.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan yang menyaksikan perjanjian tersebut berkata, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif tersebut kerana yakin pembinaan makmal analisis REE akan memberi manfaat besar dalam mempercepatkan pertumbuhan industri berasaskan REE di Kelantan.
“Royalti daripada hasil perlombongan ini dapat dimanfaatkan sebagai sumber pembangunan dan kesejahteraan rakyat, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
![]() |
YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan |
“Secara tidak langsung, kewujudan makmal ini turut merangsang ekonomi setempat menerusi perbelanjaan harian oleh para pekerja makmal,” katanya.
Sementara itu, P.Geol Phakhrudin pula memaklumkan bahawa Kelston akan memperoleh beberapa manfaat termasuk pengurangan kos analisis unsur REE yang dijangka menurun sehingga 50 peratus.
“Semua tenaga kerja adalah dalam kalangan rakyat Malaysia, dan keutamaan akan diberikan kepada rakyat Kelantan. Sekurang-kurangnya lima peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan menerusi penubuhan makmal ini.
“Pemindahan teknologi berkaitan REE juga akan berlaku melalui makmal ini, hasil kerjasama antara GPM dan universiti dari China,” katanya.
Tambah beliau, Kelstone juga dijangka menerima 20 peratus daripada keuntungan bersih makmal serta pegangan saham sebanyak 40 peratus.
Dalam kenyataan berasingan, GPM menjelaskan bahawa makmal yang bakal dibina itu berperanan menyediakan kepakaran teknikal dalam menganalisis serta mengesahkan kandungan unsur nadir bumi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan pangkalan data komprehensif untuk rujukan kerajaan negeri pada masa depan.
Projek itu turut mendapat sokongan teknikal daripada COSMOS International Consultancy Sdn Bhd yang akan terlibat dalam perancangan dan pembinaan makmal tersebut di Bandar Baru Tunjung.
“Syarikat juga terbuka untuk bekerjasama dengan pelabur tempatan dan antarabangsa dalam meneroka potensi pelaburan serta membangunkan teknologi baharu seiring dengan aspirasi negara ke arah ekonomi rendah karbon dan pembangunan teknologi hijau,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir, Pengerusi Kelstone yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kadok YB Dato’ Sr Azami Mohd Nor.
0 Comments