Ticker

6/recent/ticker-posts

MB KELANTAN TEKANKAN KOMITMEN JADIKAN NEGERI JELAPANG MAKANAN NEGARA


Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 14 Mei – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan kepentingan pelaksanaan projek-projek pertanian secara strategik dan menyeluruh dalam merealisasikan sasaran menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2025.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) yang berlangsung di Mabna pada Selasa.

Menurutnya, pelbagai inisiatif sedang berjalan dan akan terus dilaksanakan dalam usaha memperkukuh sektor pertanian sebagai antara penyumbang utama kepada keselamatan makanan negara.


“Antara yang dibincangkan ialah perkembangan projek penting seperti Rong Chenok Agro Valley (RCAV), Kilang Padi Darul Naim di Meranti, serta pembangunan penternakan lembu tenusu secara lebih menyeluruh di seluruh negeri.

“Ketiga-tiga projek ini diselaraskan dengan kerjasama agensi teknikal seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian,” jelas beliau.

Mengulas sambutan rakyat terhadap Pasar Rakyat KelAgro yang diperkenalkan kerajaan negeri, beliau menyatakan bahawa maklum balas yang diterima amat positif.


“Pasar Rakyat KelAgro yang kini beroperasi di 10 jajahan yang menawarkan barangan dapur segar pada harga mampu milik membuktikan kesungguhan iltizam kerajaan negeri dalam membantu rakyat melalui subsidi langsung kepada harga barangan asas,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan rakyat dan mendoakan agar segala perancangan serta pelaksanaan usaha pertanian di negeri ini dipermudahkan Allah SWT.

“Semoga segala usaha ini berjalan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Kelantan,” ujarnya.



Post a Comment

0 Comments