Ticker

6/recent/ticker-posts

BIOK-EDH 2025 PLATFORM STRATEGIK HIMPUN PEMAIN INDUSTRI, SEDIAKAN AKTIVITI MENARIK


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 20 Mei – Karnival BioKelantan (BIOK) dan Ekspo Dapur Hijau (EDH) 2025 merupakan platform strategik yang menghimpunkan pemain industri, penyelidik serta usahawan tempatan dalam usaha memacu agenda bioekonomi negeri dan memperkukuh jaringan kerjasama bernilai tinggi.

Karnival tersebut dijadualkan berlangsung pada 29 hingga 31 Mei 2025, di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan bahawa program berkenaan dijangka menjadi tumpuan utama kepada pelbagai kelompok masyarakat dan bakal memperlihatkan sinergi antara pengetahuan tempatan dan teknologi semasa dalam usaha memperkasa ekonomi hijau negeri.

Oleh itu, mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, beliau mempelawa seluruh rakyat Kelantan dan pengunjung dari negeri-negeri jiran untuk menghadiri karnival tersebut yang sesuai untuk pelajar, usahawan tani, warga komuniti serta individu yang ingin menimba ilmu, kemahiran dan inspirasi dalam bidang bioteknologi, pertanian dan agroinovasi.


Antara tarikan utama BIOK dan EDH 2025 ialah demonstrasi pertanian pintar yang akan dikendalikan oleh pakar-pakar industri dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Siri Demonstrasi Bio Tani yang bakal berlangsung merangkumi penghasilan baja penggalak dan kawalan tanaman organik, teknologi AI dalam temakan (precision farming) dan penyediaan bongkah cendawan tiram kelabu.

Tidak terkecuali, taklimat bantuan tanaman nanas dan teknologi pemprosesan jus nanas, penghasilan makanan ternakan dan demonstrasi masakan berasaskan ikan tempatan.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin turut memaklumkan keyakinannya terhadap tahap persediaan yang ditunjukkan semua agensi terlibat bagi menjayakannya.

“Kesungguhan serta komitmen padu daripada pihak penganjur menjadi pemangkin utama kepada kejayaan penganjuran edisi kali ini yang dijangka mampu melonjakkan potensi sektor bioteknologi dan inovasi hijau negeri Kelantan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BIOK dan EDH 2025 di Bilik Gerakan, Kompleks Kota Darulnaim, pada Isnin.

Mesyuarat tersebut turut disertai timbalannya, YB Dato' Shaari Mat Hussain, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan serta wakil-wakil agensi pelaksana bagi menyelaras kemajuan terkini menjelang sesi raptai akhir program.


Post a Comment

0 Comments