Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN FUTURES STATES 2033 BERPRINSIP ISLAMI


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 19 Mei – Kelantan kini berada pada landasan strategik dalam merealisasikan aspirasi Kelantan Futures States 2033, dengan tempoh lapan tahun berbaki untuk mencapai matlamat yang telah di gariskan.

Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendekatan pembangunan negeri perlu dilaksanakan secara tersusun dan berstrategi agar selari dengan nilai-nilai Islam serta jati diri rakyat Kelantan.

“Meskipun negara-negara Barat sering dijadikan rujukan dalam aspek kemajuan, pendekatan pembangunan di Kelantan mempunyai keunikan tersendiri dan tidak meniru sepenuhnya naratif Barat yang cenderung memisahkan agama daripada arus kemodenan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.

Beliau menjelaskan, Kelantan memilih pendekatan membina masa depan berdasarkan prinsip Islam yang menyeluruh, berpaksikan nilai ilmu, akhlak dan budaya tempatan, tanpa mengabaikan identiti negeri serta kekuatan dalaman rakyatnya.


Dato’ Dr. Mohamed Fadzli turut menegaskan bahawa setiap negeri mempunyai pendekatan pembangunan yang berbeza, bergantung kepada faktor geografi, sumber semula jadi serta potensi ekonomi masing-masing.

“Kelantan mungkin tidak menonjol dalam beberapa aspek pembangunan fizikal, namun mempunyai kelebihan ketara dalam bidang pendidikan agama. Dengan kewujudan 93 buah sekolah agama di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), negeri ini telah berjaya melahirkan ramai ilmuwan, teknokrat dan pakar yang menyumbang di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya lagi.

Tambah beliau, persepsi negatif terhadap negeri ini perlu diperbetulkan dengan memperlihatkan kekuatan sebenar Kelantan.

“Kejayaan anak-anak Kelantan yang kini menyumbang khidmat bakti di seluruh negara adalah bukti bahawa negeri ini berjaya melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan memiliki jati diri tinggi,” tegasnya.


Terdahulu, beliau merasmikan Townhall Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan Zon Utara yang berlangsung di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah.

Program anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu dihadiri hampir 300 anak Kelantan dari utara Semenanjung Malaysia.

Untuk rekod, Kelantan Futures States 2033 digagaskan berasaskan tiga teras utama: memperkukuh kepimpinan ulama, memperkasakan ekonomi negeri serta mengukuhkan budaya kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan rakyat.



Post a Comment

0 Comments