Ticker

6/recent/ticker-posts

PERANTAU TERUJA TAHU PERKEMBANGAN PEMBANGUNAN KELANTAN


Oleh: Norzana Razaly

SUNGAI PETANI, 20 Mei – Hasrat seorang perantau dari Sungai Petani, Kedah untuk kembali menetap di kampung halaman di Kelantan dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang disulami dengan keterujaan terhadap perkembangan semasa negeri ini, khususnya di Jeli.

Wan Maznah Wan Muhamad, anak jati Kampung Legeh, Jeli yang telah bermastautin di Kedah sejak tahun 2000, meluahkan keinginan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kemajuan di daerah kelahirannya sebagai persediaan awal untuk berhijrah pulang.

“Ramai anak muda berhijrah keluar kerana kurang peluang pekerjaan. Di Jeli, tiada pasar raya, terpaksa ke Bukit Bunga di Tanah Merah untuk mendapatkan keperluan harian dan jaraknya agak jauh. Persoalannya, bagaimana kita boleh tarik anak muda yang bekerja di luar supaya kembali dan membangunkan Jeli, contohnya membuka kilang?” ujarnya.


Menjawab perkara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mohamad Nasriff Daud menjelaskan bahawa Jeli sedang pesat membangun dengan kewujudan institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan pelbagai kemudahan lain.

“Jeli kini dikenali sebagai bandar bahagia dan sejahtera. Kebanyakan yang bekerja di Jeli adalah penyewa, bukan penduduk tetap. Namun, jika jajaran baharu Lebuh Raya Utara-Timur dapat direalisasikan, ia pasti menjadi pemangkin kemajuan Jeli selaras dengan semangat federalisme,” katanya.

Beliau turut memaklumkan perancangan pembangunan kawasan perindustrian di Bukit Perawas yang bakal menjadi tapak bagi kilang pemasangan komponen elektronik.

Menurutnya, kerajaan negeri komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk merangsang pembangunan di kawasan tersebut.


YB Nasriff turut menyentuh tentang daya beli rakyat Kelantan yang tinggi meskipun negeri ini sering dilabel sebagai miskin.

“Ramai tidak sedar bahawa selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, harga tanah dan kos rumahdi Kelantan adalah antara yang tertinggi. Namun, rakyat mampu membeli, membuktikan kemampuan ekonomi domestik yang kukuh. Anak muda perlu berfikiran jauh, walau di mana pun bekerja, jangan lupa menyumbang kepada negeri asal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Townhall Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan Zon Utara yang diadakan di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah, pada Ahad lalu.

Program anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu menghimpunkan hampir 300 anak Kelantan yang menetap di negeri-negeri utara Semenanjung.

Post a Comment

0 Comments