![]() |
YB Zamakhshari Muhamad, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
PASIR MAS, 31 Mei – Festival Seni Mas ialah satu manifestasi kesenian berteraskan nilai-nilai Islam yang menonjolkan keindahan, kreativiti dan kesucian dalam setiap hasil seni yang dipamerkan oleh anak-anak muda tempatan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata festival yang mengetengahkan pelbagai aktiviti seperti jualan barang terpakai dan kraftangan tempatan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk menghayati seni dan budaya.
Ia juga mengangkat warisan nenek moyang yang dipertahankan dengan penuh kebanggaan.
Penganjuran festival berkenaan juga mematuhi segala garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
"Lebih membanggakan, festival ini memperlihatkan keterlibatan aktif anak-anak muda dalam industri 'bundle' yang semakin berkembang dan menjadi salah satu sumber pendapatan utama bagi golongan belia.
"Melalui industri ini, mereka bukan hanya mampu menjana pendapatan sendiri, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan negara.
“Dengan program-program seperti ini, insya Allah, kita bukan sahaja memberi ruang kepada anak muda menjana pendapatan, tetapi dalam masa yang sama memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengisi masa berkualiti bersama keluarga melalui hiburan yang berlandaskan syariat Islam."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Bundle dan Kesenian Anak Mudak (SeniMas), di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, pada Jumaat.
Katanya lagi, anak-anak muda hari ini disifatkan sebagai cerminan masa depan sesebuah bangsa. Mereka adalah pewaris kepada amanah kepimpinan dan penentu hala tuju negara.
"Dengan semangat, kreativiti dan kegigihan yang ditunjukkan, masa depan anak muda Kelantan dilihat amat cerah.
“Para cendekiawan ada mengatakan, kalau kita ingin lihat masa depan, lihatlah anak muda hari ini. Insya Allah, saya yakin anak-anak muda di Pasir Mas dan di Kelantan secara umumnya mempunyai masa depan yang sangat baik,” tambahnya.
Festival itu juga menjadi platform penting dalam memartabatkan kesenian tempatan, memperkasa ekonomi anak muda serta melestarikan warisan budaya yang menjadi identiti negeri Kelantan.
Tambah YB Zamakhshari, beberapa isu berkaitan anak muda seperti peluang pekerjaan, ekonomi dan masa depan mereka turut diambil perhatian serius oleh kerajaan negeri.
"Usaha berterusan sedang dilakukan termasuk kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ke arah itu.
“Kalau kita lihat hari ini, hubungan YAB Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri sangat baik. Kita mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera. Sebab itulah banyak projek pembangunan di peringkat persekutuan telah diluluskan untuk Kelantan,” ujarnya lagi.
Antara projek mega yang bakal memberi impak besar kepada negeri termasuklah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada Januari 2027.
Projek tersebut dijangka akan membawa limpahan ekonomi dan membuka banyak peluang pekerjaan serta perniagaan kepada rakyat, khususnya anak-anak muda Kelantan.
Turut hadir, Penyelaras Belia Pasir Mas merangkap Pengerusi Belia Prihatin Pasir Mas Mohd Syakir Dato' Mohd Nassuruddin.
0 Comments