Ticker

6/recent/ticker-posts

ISLAM LETAK IBU PADA KEDUDUKAN TERTINGGI DALAM PEMBENTUKAN JATI DIRI ANAK


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 11 Mei – Islam meletakkan kedudukan ibu pada tempat yang tinggi sebagai tunggak utama dalam pembentukan keperibadian anak-anak dan pembangunan masyarakat yang berakhlak.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, pengiktirafan besar terhadap pengorbanan seorang ibu dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa ibu lebih berhak mendapat layanan baik daripada anak-anak sebanyak tiga kali ganda berbanding ayah.

“Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ini menzahirkan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dalam mengandung, melahirkan, menyusukan serta membesarkan anak-anak. Justeru, Islam mengangkat kedudukan ibu dengan penuh penghormatan,” katanya dalam satu hantaran sempena sambutan Hari Ibu 2025, hari ini.

Menurut beliau, peranan ibu bukan sekadar pengasuh, tetapi sebagai pendidik terawal dan terpenting dalam membentuk ketahanan mental, emosi dan spiritual anak-anak sejak kecil lagi, bagi menghadapi cabaran hidup pada masa hadapan.

“Asuhan dan kasih sayang yang tulus daripada seorang ibu menjadi benteng pertama yang melindungi anak-anak daripada terjerumus dalam gejala sosial yang kian membarah dalam masyarakat,” katanya.

Menguatkan hujahnya, beliau turut memetik pepatah Arab yang berbunyi, “At-Tarbiyah fi as-sighar ka naqsyin ‘ala al-hajar” (pendidikan semasa kecil ibarat ukiran pada batu), bagi menggambarkan betapa pentingnya pendidikan awal yang diasaskan oleh ibu.

Mengulas lanjut, YB Mohd Asri memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan secara konsisten menganjurkan pelbagai program dan inisiatif bagi menghargai jasa serta sumbangan golongan ibu, selaras dengan nilai murni dan dasar pembangunan insan yang diperjuangkan kerajaan.

“Semoga semua ibu yang telah banyak berkorban diberikan ganjaran tertinggi di sisi Allah SWT dan dikurniakan balasan syurga yang dijanjikan,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments