PERKASAKAN ISTILAH BAHASA MELAYU – YBM SUK


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 12 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkasa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di peringkat negeri.

Setiausaha Kerajaan Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal mencadangkan agar nama Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan diperkemas menjadi Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Melayu Peringkat Negeri Kelantan.

Cadangan tersebut dikemukakan sebagai simbol sokongan jitu terhadap usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dan sastera tanah air sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Penjenamaan semula nama jawatankuasa ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri dalam menyokong usaha pemerkasaan bahasa dan sastera yang digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT),” ujar beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan (JKPBK) Bil. 1/2025 yang berlangsung di Bilik Gerakan Mabna, semalam.


Dalam mesyuarat berkenaan, ahli-ahli jawatankuasa turut bersetuju agar usaha penambahbaikan penggunaan bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi dalam paparan awam seperti papan tanda, papan iklan dan premis perniagaan diberi perhatian sebagai antara agenda utama dalam program pemerkasaan Bahasa Melayu di negeri ini.

“Pihak berkuasa tempatan perlu diberikan punca kuasa pentadbiran yang jelas bagi melaksanakan syarat pengesahan bahasa oleh DBP bagi setiap permohonan iklan yang dikemukakan.

"Selain itu, mesyuarat juga mencadangkan agar proses pengesahan bahasa oleh DBP dapat dilaksanakan dalam tempoh 24 jam bagi memudahkan urusan kelulusan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kelulusan pengesahan bahasa oleh DBP akan dijadikan keperluan pentadbiran yang wajib dipatuhi.

Manakala mesyuarat JKPBK Peringkat Negeri Kelantan akan dilaksanakan sebanyak dua kali setahun, iaitu sebelum berlangsungnya Mesyuarat Induk JKPBK di peringkat pusat.

Sebagai langkah memperkukuh peranan jawatankuasa, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut dilantik sebagai ahli baharu JKPBK Peringkat Negeri Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri merancang untuk bersinergi dengan DBPWT bagi menganjurkan Anugerah Bahasa Kelantan dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan pada tahun 2026 sebagai platform mengiktiraf pencapaian dan sumbangan tokoh bahasa dan sastera tempatan.

Manakala pada tahun ini, Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala SUK Kelantan dengan kerjasama DBPWT akan dilaksanakan, seiring dengan penganjuran program Dekad Bahasa Kebangsaan yang turut diperluas di peringkat negeri.

Turut hadir, Pengarah DBPWT Ariza Che Ismail.



Post a Comment

0 Comments