Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 11 Mei – Projek pembangunan infrastruktur Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa bagi fasa kedua terus menunjukkan perkembangan positif dengan kemajuan terkini mencapai 54.29 peratus setakat 3 Mei lalu.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Hussin berkata projek strategik berimpak tinggi tersebut melibatkan kerja-kerja kejuruteraan dan pembinaan bersepadu yang kini giat dijalankan di lapangan.
"Antara komponen utama yang sedang melalui fasa pembangunan aktif ialah Bangunan Terminal Utama, Bangunan VVIP, dan Unit CUB 2. Konsistensi pencapaian ini mencerminkan kecekapan tenaga kerja dan penyelarasan rapi sesama pihak berkepentingan dalam menjayakan inisiatif pembangunan yang berimpak tinggi terhadap jaringan pengangkutan dan ekonomi serantau.
“Tumpuan kini digerakkan sepenuhnya ke arah memastikan Fasa 2 dapat disiapkan dengan optimum melalui pendekatan pelaksanaan terancang, pemantauan harian, dan peningkatan logistik tapak,"elasnya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, kemajuan itu selari dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan projek-projek pembangunan utama disiapkan dengan piawaian terbaik, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negeri Kelantan.
0 Comments