Ticker

6/recent/ticker-posts

Kelantan bergerak seiring pembangunan teknologi hijau



SALMAH MAT HUSAIN

PASIR MAS: Projek solar terapung yang dibangunkan Cypark Resources Sdn Bhd bersama anak syarikat kerajaan negeri di Danau Tok Uban membuktikan kemampuan Kelantan bergerak seiring teknologi hijau tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Pembangunan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, pemasangan panel solar di atas 20 pulau terapung di permukaan tasik menjana 98 megawatt peak (MWp), untuk membekalkan elektrik kepada lebih 33,000 rumah.


Katanya, pemasangan panel dilakukan di atas air, menjadikan tanah darat tidak terganggu serta meningkatkan kecekapan penjanaan melalui penyejukan semula jadi.


Tambahnya pada masa sama, projek penternakan ikan sangkar di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Danau Tok Uban turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan.


"Sehingga tahun lepas, sebanyak 86 penternak dengan 728 sangkar berjaya menghasilkan 227 tan metrik ikan bernilai RM1.8 juta, peningkatan ketara berbanding lima tahun lalu.


"Inisiatif ini bukan sahaja membawa pelaburan dan menjana hasil negeri, malah turut membuka peluang pekerjaan," katanya di sini baru-baru ini. 


Menurutnya Danau Tok Uban akan terus menjadi kebanggaan Kelantan dan model pembangunan mampan untuk masa depan negeri.


Ladang solar di Danau Tok Uban dibina membabitkan 247,830 panel solar di kawasan tasik seluas 40 hektar.


Ia dibangunkan syarikat Cypark Resources Sdn Bhd dengan usahasama Kelantan Utilities Mubaraakan Holdings Sdn Bhd. Projek berkenaan bernilai RM500 juta.

Post a Comment

0 Comments