Oleh: Asri Hamat
PASIR MAS, 23 Mei – Kejayaan pelaksanaan projek tenaga solar terapung di Danau Tok Uban (DTU), Pasir Mas menjadikan Kelantan peneraju utama dalam sektor tenaga boleh baharu di Malaysia.
Pengerusi Eksekutif Cypark Resources Berhad, Dato' Hamidah Moris berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja mengangkat imej Kelantan sebagai peneraju tenaga hijau, bahkan memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan strategik berimpak tinggi dalam ekonomi mampan.
"Kejayaan projek ini menjadi penanda aras baharu dalam industri tenaga boleh baharu negara serta meletakkan Kelantan di barisan hadapan dalam membina ekonomi hijau berimpak tinggi. Ia sejajar dengan matlamat pembangunan mampan negeri ini," katanya.
Dato’ Hamidah berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerja Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud ke tapak Ladang Solar Terapung di Kem Danau Tok Uban, pada Khamis.
Tambah beliau, projek itu bukan sahaja menjana tenaga bersih, bahkan turut merangsang pembangunan sosial dan ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta pemerkasaan komuniti.
"Sebanyak 80 peratus tenaga kerja operasi loji ini terdiri daripada anak tempatan Kelantan yang memiliki kepakaran dalam bidang teknologi hijau dan kejuruteraan.
"Kontrak kerja sokongan seperti pembersihan rumpai, pembaikan penyambungan wayar panel solar dan sokongan logistik juga diberi keutamaan kepada koperasi dan syarikat tempatan," ujarnya.
Dato’ Hamidah turut memaklumkan bahawa loji berkenaan sejak mula beroperasi telah menarik kunjungan lebih 350 individu daripada pelbagai latar belakang termasuk agensi kerajaan dan institusi kewangan tempatan serta antarabangsa.
Sebagai rekod, Loji Janakuasa Solar Terapung DTU merupakan yang terbesar seumpamanya di Malaysia.
Ia dibangunkan oleh Cypark Resources Berhad dengan kerjasama Kelantan Utilities Mubarakah Holding (KUM) dan merangkumi kawasan seluas 162 ekar dengan 20 pulau solar serta 247,800 panel solar.
Kapasiti penjanaan keseluruhannya berjumlah 60 megawatt (MW), loji tersebut mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2025 dan menyumbang tenaga bersih ke grid nasional.
Projek berkenaan berupaya menjana lebih 100,000 megawatt-jam tenaga elektrik setahun, mencukupi untuk keperluan lebih 33,000 buah rumah, selain menyumbang kepada pengurangan sekitar 63,000 tan karbon dioksida setiap tahun, satu impak signifikan kepada usaha mitigasi perubahan iklim negara.
0 Comments