Oleh: Asyura Muhamad
SUNGAI PETANI, 18 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalin hubungan erat bersama anak-anak Kelantan di perantauan. Dalam masa sama, Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) kekal sebagai antara badan bukan kerajaan (NGO) paling aktif dalam melaksanakan pelbagai program melibatkan komuniti perantau.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha kerajaan negeri turun padang bertemu rakyat di perantauan adalah satu penghargaan terhadap sumbangan mereka, di samping memberi ruang untuk bertukar pandangan serta menyalurkan cadangan kepada kepimpinan negeri.
“Tujuan kita (pemimpin kerajaan negeri) datang dan berjumpa adalah untuk menghargai anak-anak Kelantan dan dalam masa yang sama untuk bertukar-tukar pandangan serta memberi cadangan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Townhall Pemimpin Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan Zon Utara di sebuah hotel, di sini, semalam.
Mengulas potensi pembangunan negeri, beliau memaklumkan bahawa setiap negeri di Malaysia mempunyai kekuatan dan cabaran tersendiri, termasuk Kelantan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kelantan kini menjalinkan kerjasama strategik bersama penyelidik dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam merangka hala tuju pembangunan negeri menjelang tahun 2033 melalui inisiatif Kelantan Futures State 2033.
“Pelan ini dibangunkan berdasarkan data dan keperluan semasa, bertujuan menyediakan panduan serta strategi lestari bagi memacu pembangunan negeri mengikut acuan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud pula menjelaskan bahawa pelan tersebut mengenal pasti sembilan cabaran utama yang bakal dihadapi negeri itu, antaranya aspek ekonomi.
Menurutnya, pembangunan ekonomi yang inklusif dan disokong oleh pelbagai pihak diyakini mampu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri secara berterusan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa model ekonomi berteraskan fardu kifayah yang diamalkan di negeri ini telah membolehkan pelaksanaan pelbagai skim kebajikan, termasuk Skim Al-Itaam yang menyediakan bantuan barangan asas secara bulanan kepada golongan memerlukan, serta bantuan peralatan kepada usahawan terpilih di setiap Dewan Negeri (DUN).
“Kerajaan Negeri turut menunjukkan keprihatinan terhadap anak-anak Kelantan di perantauan, khususnya mahasiswa. Antara inisiatif disediakan termasuk perkhidmatan bas percuma untuk pulang mengundi dan menyambut Aidilfitri, selain bantuan Al-It’aam Siswa kepada pelajar kurang berkemampuan,” katanya semasa sesi soal jawab dalam majlis berkenaan.
0 Comments