Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 18 Mei – Kelantan terus memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan budaya unggul di Malaysia apabila berjaya menembusi pasaran Asia Timur menerusi penyertaan dalam Guangzhou International Travel Fair (GITF) 2025 dan misi promosi pelancongan di Hong Kong.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penyertaan dalam GITF 2025 yang berlangsung di China Import and Export Fair Complex, Guangzhou itu membuka ruang strategik kepada Kelantan untuk memperkenalkan produk pelancongan berteraskan budaya, warisan dan keunikan tempatan ke peringkat antarabangsa.
"Ia menjadi medan penting merintis peluang kerjasama bersama agensi pelancongan global, pengusaha industri serta pemain digital dan teknologi pelancongan.
“Penyertaan ini memperkukuh lagi usaha memposisikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya yang berdaya saing di rantau Asia," katanya dalam kenyataan media hari ini.
![]() |
YB Datuk Kamarudin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan |
Terdahulu, beliau mengetuai delegasi promosi pelancongan ke Hong Kong yang menyaksikan pertemuan bersama wakil agensi pelancongan, media serta pemain industri pelancongan tempatan dalam usaha memperkenalkan Kelantan sebagai destinasi yang unik dan berpotensi tinggi.
"Program ini menjadi platform penting untuk memperluaskan pasaran pelancongan ke Asia Timur selain mengukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa.
“Antara produk yang diketengahkan ialah pelancongan budaya, warisan, alam semula jadi serta pengalaman komuniti yang menjadi kekuatan utama negeri ini," jelasnya menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.
Tambahnya, sesi soal jawab yang diadakan turut menerima maklum balas positif daripada para hadirin, membuktikan minat tinggi terhadap tawaran pelancongan negeri itu.
Beliau optimis misi tersebut akan membuka lebih banyak peluang kemasukan pelancong luar ke Kelantan, sejajar dengan tema pelancongan negeri, Indahnya Kelantan 2025.
0 Comments