Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 16 Mei 2025 – Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Tanjung Mas Pakej 2 kini mencatat kemajuan sebanyak 48.43 peratus mendahului jadual sebenar 45.30 peratus.
Pencapaian tersebut sekali gus menzahirkan perkembangan positif dalam usaha meningkatkan kapasiti bekalan air bersih di Kelantan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Saizol Ismail berkata, pihaknya berpuas hati dengan kemajuan fizikal projek tersebut yang berada di landasan tepat mengikut jadual.
![]() |
YB Saizol Ismail, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar |
“Insya-Allah, melihat kepada kemajuan kerja semasa, pembinaan telaga tiub dijangka dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini. Ia merupakan langkah awal sebelum pelaksanaan fasa pra-pembinaan loji rawatan air di Tanjung Mas,” katanya ketika ditemui media di tapak projek pada Khamis.
Beliau turun padang mengiringi lawatan kerja Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke lokasi berkenaan.
Jelasnya lagi, projek LRA Tanjung Mas merupakan sebahagian daripada pelan strategik negeri dalam meningkatkan kebolehupayaan sistem bekalan air bersih kepada rakyat.
“Pembangunan prasarana air seperti ini adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu gangguan bekalan air secara menyeluruh dan mampan,” ujarnya.
0 Comments