100,000 pengunjung rai sambutan 70 Tahun PAS Kelantan

 

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Hampir 100,000 pengunjung dijangka menghadiri program sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang bermula semalam sehingga 25 Oktober ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelbagai pengisian menarik disusun bagi memeriahkan sambutan tersebut.

Menurutnya, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Ameerah, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Dewan Assabiqun serta PAS peringkat kawasan turut menjayakan program berkenaan.

Kata beliau setiap 14 kawasan menonjolkan sejarah perjuangan masing-masing yang menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang PAS di Kelantan.

“Sejarah perjuangan perlu ditonjolkan supaya ia tidak hilang begitu sahaja. Generasi hari ini perlu memahami perjuangan orang lama yang penuh dengan cabaran, kesabaran dan komitmen,” katanya.

Wan Roslan berkata demikian selepas merasmikan Pameran PAS Kelantan sempena 70 tahun PAS Kelantan dan 35 tahun dasar Membangunan Bersama Islam di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad 1V petang semalam.

Beliau juga berkata, PAS sudah bertapak di Kelantan selama 70 tahun hasil kekuatan iman dan semangat juang orang lama yang tidak pernah luntur.

Oleh itu katanya anak muda perlu belajar daripada sejarah perjuangan pejuang dahulu supaya mereka dapat mengekalkan momentum kemenangan PAS di Kelantan.

"Walaupun kita serba kekurangan, dengan keimanan dan semangat perjuangan yang jitu, kita mampu menghadapi pelbagai cabaran,” ujar beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Beliau juga berkata, pimpinan dahulu kental dalam perjuangan antaranya program ceramah dihalang, namun semangat jihad dan pengorbanan mereka begitu tinggi.

Kata beliau juga pameran sejarah diharap dapat membuka mata masyarakat terhadap kehebatan perjuangan PAS dalam usaha menegakkan syiar Islam di negeri Serambi Mekah.

“Inilah perjuangan yang perlu terus dipertahankan agar dasar Islam kekal subur di bumi Kelantan,” katanya.

Sementara itu pelbagai acara menarik diadakan sepanjang sambutan tersebut termasuk pentas ulama, persembahan hiburan anak muda Trio, pameran arkib, seminar 70 Tahun PAS Kelantan, konsert amal Sumud Palestin serta karnival 35 tahun Membangun Bersama Islam.

Selain itu Hari Anak Muda Kelantan, kuliah perdana oleh Ustaz Azhar Idrus serta ceramah perdana tokoh utama Perikatan Nasional.


 

 

Post a Comment

0 Comments