Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMBANGUNAN DI KAWASAN SEMPADAN PERLU LEBIH RANCAK – MB KELANTAN


Oleh: Asri Hamat

PASIR MAS, 22 Mei – Pembangunan di kawasan sempadan negeri, khususnya di Pasir Mas, perlu dilaksanakan dengan lebih rancak berbanding kawasan lain memandangkan kedudukannya yang strategik serta memiliki potensi besar untuk dimajukan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, beberapa projek mega telah dan sedang dirancang di sekitar kawasan sempadan Kelantan-Thailand di Rantau Panjang.

“Di Pasir Mas ini, ada beberapa projek besar yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Anwar Ibrahim. Antaranya pembinaan jambatan kedua yang merentasi Sungai Golok di Rantau Panjang.

"Ini merupakan detik bersejarah bagi Pasir Mas apabila Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Thailand pada masa itu, Srettha Thavisin, bertemu di sini bagi membincangkan pembangunan bersama di tebing Sungai Golok,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerja ke Jajahan Pasir Mas di Bilik Gerakan, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, hari ini.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri Malaysia memaklumkan bahawa Perdana Menteri Thailand yang baharu, Paetongtarn Shinawatra turut bersetuju meneruskan pembinaan jambatan berkenaan serta inisiatif mendalamkan Sungai Golok.

“Kedua-dua kerajaan bersetuju untuk membina jambatan kedua di Sungai Golok serta mendalamkan sungai tersebut bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan ini. Kita berterima kasih kepada Kerajaan Pusat atas komitmen tersebut,” ujarnya.

Menteri Besar turut menegaskan bahawa kerajaan negeri, khususnya Pejabat Tanah, perlu segera melaksanakan proses pengambilan tanah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan.


“Perdana Menteri juga meluluskan peruntukan RM5 juta bagi pembinaan kios untuk peniaga kecil di laluan jambatan kedua tersebut.

"Perdana Menteri mahu kios ini dibina berhampiran jambatan, maka kita minta agar urusan tanah disegerakan,” katanya.

Mengulas mengenai tanggungjawab membangunkan negeri, beliau menyifatkan ia sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi.

“Allah tidak melantik malaikat sebagai khalifah kerana malaikat tidak makan, tidak bertani, tidak membina rumah. Maka bumi tidak akan dibangunkan. Tetapi manusia, bila ada keperluan, mereka akan bertindak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kepentingan menampilkan identiti tempatan dalam seni bina, khususnya dalam pembinaan masjid.

“Kita mahu seni bina masjid di Kelantan menonjolkan identiti Melayu dan warisan tempatan. Kalau Masjid Beijing di Rantau Panjang dibina berasaskan seni bina China bagi tujuan dakwah pada era Allahyarham Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, maka kita juga mahu pelancong datang melihat keunikan seni bina kita melalui pembinaan masjid baharu di negeri ini,” katanya, merujuk kepada cadangan pembinaan masjid di Apam Putra.

Terdahulu, Menteri Besar dan rombongan diberi taklimat mengenai perkembangan pembangunan Jajahan Pasir Mas oleh Ketua Jajahan Shamsul Abu Bakar.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri YB Dato' Rosnazli Amin, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri; Ahli Dewan Negara serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Menteri Besar turut melawat ladang solar terapung di Danau Tok Uban dan melepaskan 50,000 anak ikan lampan ke tasik berkenaan.



Post a Comment

0 Comments