Ticker

6/recent/ticker-posts

KELGYU BERPOTENSI TERAJUI INDUSTRI DAGING WAGYU TEMPATAN DI KELANTAN


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 14 Mei – Pusat ternakan Lembu Wagyu Kelantan (Kelgyu) milik Kelfarm Sdn. Bhd. berpotensi menjadi peneraju industri daging wagyu tempatan di Kelantan, susulan pembukaan cawangan baharu pusat ternakan itu di Seribong, Limbat, Kota Bharu.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada projek di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024 yang menekankan pengoptimuman penggunaan tanah.

“Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta penglibatan strategik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK),” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Selasa.

Menurutnya, pembangunan pusat ternakan tersebut merangkumi pembinaan kandang lembu tertutup berkapasiti antara 120 hingga 150 ekor, selain menumpukan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) mampan bagi penghasilan lembu wagyu tempatan.


Tambah beliau, permintaan terhadap daging wagyu semakin meningkat dalam kalangan pengusaha restoran mewah, bahkan turut mendapat sambutan dalam kalangan pengguna domestik yang semakin mengutamakan daging berkualiti tinggi daripada sumber tempatan.

“Kelgyu diharap dapat menjadi peneraju utama dalam memperkukuh kedudukan produk wagyu tempatan di pasaran, khususnya di Kelantan,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Tuan Mohd Saripudin mengadakan lawatan kerja ke tapak cawangan baharu Kelgyu di Seribong, Limbat bagi meninjau kemajuan semasa projek ternakan berkenaan.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Shahrin Abdullah, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof, dan Timbalan Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) Rosli Abdullah.

Post a Comment

0 Comments