Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 13 Mei – Penganjuran Program Gotong-Royong dan Wakaf Kitar Semula diyakini mampu meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan penjagaan kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, program seumpama ini bukan sahaja menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat, malah menggalakkan kerjasama komuniti dalam mengamalkan budaya wakaf barangan terpakai secara lestari.
“Daripada membuang barangan yang masih boleh dikitar semula ke tapak pelupusan, lebih baik kita mewakafkannya. Tindakan ini bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi beliau, semalam.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri kekal komited melaksanakan kempen KelantanKu Bersih, termasuk memperuntukkan sebanyak RM41 juta bagi tahun 2025 bagi memperkasa tahap kebersihan negeri.
![]() |
YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
“Usaha ini turut disokong oleh Kelantan Utilities Mubarakan Holding (KUMH) melalui peluasan Program Wakaf Kitar Semula yang merangkumi barangan elektrik dan elektronik (e-waste), minyak masak terpakai, botol, dan kertas. Program ini dilaksanakan di sekolah, masjid, pejabat PBT serta agensi-agensi kerajaan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, YB Mohd Asri merasmikan Program Gotong-Royong dan Pengindahan Alam anjuran Jawatankuasa Penduduk (JKP) Demit 2025 yang berlangsung di perkarangan Pasar Tok Kenali, Binjai, Kota Bharu.
Program berkenaan mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk MPKB-BRI, KUMH, Balai Polis Binjai, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Tanah Kota Bharu, Hospital USM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK).
“Terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan berganding bahu menjayakan program ini. Anda semua memang terbaik,” ujarnya.
Sebagai simbolik perasmian, YB Mohd Asri turut menanam sebatang pokok sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif penghijauan dan pengindahan persekitaran.
0 Comments