Ticker

6/recent/ticker-posts

MENGHADAPI KRISIS TARIF AMERIKA SYARIKAT, YB FADHLI SHAARI SARAN LIMA IDEA BERNAS



Oleh Norzana Razaly

Malaysia kini berdepan cabaran besar apabila Amerika Syarikat mengenakan tarif 24 peratus ke atas eksport utama negara.

Langkah unilateral ini memberi impak langsung kepada sektor kritikal seperti elektrik dan elektronik, yang menyumbang lebih separuh daripada eksport Malaysia ke Amerika Syarikat.

Dalam keadaan ini, negara memerlukan strategi menyeluruh dan berani untuk mengurangkan kesan jangka pendek serta membina ketahanan jangka panjang yang mampan.

Dalam sesi perbahasan khas Dewan Rakyat pada Ahad, Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari tampil mengemukakan idea bernas yang menyerlahkan keperluan kepada pendekatan dasar luar yang lebih tegas dan berprinsip.

Oleh itu, seluruh rakyat disyor untuk mengikuti secara rapat perkembangan tarif Amerika Syarikat kerana ia memberi kesan besar terhadap ekonomi eksport negara dan seterusnya kepada pendapatan isi rumah jika tidak ditangani dengan segera dan bijaksana.


Berikut adalah lima langkah utama yang disarankan YB Fadhli bagi memperkukuh kedudukan Malaysia.


1. Memperkasakan Diplomasi Perdagangan

Langkah pertama ialah memperkukuh keupayaan diplomasi ekonomi negara. Rundingan dengan Amerika Syarikat perlu diketuai oleh pemimpin kanan negara, bukan sekadar pegawai teknikal. Kehadiran wakil berprofil tinggi akan memberi isyarat bahawa Malaysia serius mempertahankan kepentingan nasional.

Beliau menyeru Kerajaan Malaysia segera mengisi kekosongan jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Duta Besar memainkan peranan penting sebagai jambatan diplomatik bagi memudahkan rundingan perdagangan, mendapatkan sokongan di Capitol Hill, dan memperkukuh jaringan dengan pelabur dan pemimpin industri di Washington.



2. Diversifikasi Pasaran: Kurangkan Kebergantungan kepada Kuasa Besar

Lebih 25 peratus eksport Malaysia bergantung kepada Amerika Syarikat dan China. Kebergantungan ini menjadikan negara mudah terdedah kepada risiko ekonomi dan geopolitik. Malaysia perlu memperluas pasaran eksport ke Afrika, Asia Tengah, Amerika Latin dan Asia Selatan, rantau yang menawarkan potensi pertumbuhan tanpa tekanan geopolitik.

Pembinaan konsortium Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi program seperti SMEs Go Global dan Galakan Eksport Bumiputera perlu digerakkan secara lebih menyeluruh.

Dalam masa lima tahun, Malaysia wajar menetapkan sasaran bahawa tiada satu negara pun menyumbang lebih 10 peratus kepada jumlah eksport negara. Ini akan memastikan daya tahan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kegagalan pasaran di satu-satu rantau.


3. Menyusun Semula Struktur Ekonomi

Krisis tarif ini mendedahkan keperluan mendesak untuk Malaysia beralih daripada ekonomi berasaskan komoditi dan pemasangan kepada sektor bernilai tinggi. Walaupun sektor pembuatan mencatatkan nilai jualan RM481.8 bilion pada suku keempat 2024, kebanyakannya masih tertumpu kepada produk berasaskan pemasangan dengan margin rendah.

Malaysia perlu melabur secara strategik dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, teknologi maklumat, bioteknologi, dan pertanian pintar. Unsur nadir bumi (REE) di Terengganu, Kelantan dan Kedah yang mengandungi 44.4. peratus jumlah nasional ialah aset strategik untuk membangunkan industri teknologi tinggi dalam negara, bukan sekadar sebagai komoditi eksport mentah.

Wilayah utara dan pantai timur seperti Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu juga wajar dimajukan sebagai hab teknologi baharu. Kos tanah dan operasi yang lebih rendah menjadi kelebihan kompetitif untuk menampung pelaburan tempatan dan asing.


4. Melindungi Kebajikan Rakyat

Kerajaan perlu memastikan rakyat tidak menjadi mangsa pertama dalam krisis ini. Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 yang dijadualkan pertengahan 2025 wajar dikaji semula. Dengan inflasi dijangka meningkat kepada 2.6 peratus dan lebih 50,000 pekerjaan berisiko terjejas, langkah ini boleh membebankan isi rumah berpendapatan rendah.

Alternatifnya, beliau mencadangkan kerajaan boleh menangguhkan rasionalisasi subsidi dan memperkukuh bantuan tunai bersasar.

Pengenalan matching fiscal grant kepada negeri berdasarkan tahap kesan ekonomi akibat tarif juga boleh membantu pengagihan bantuan secara lebih adil.


5. Membina Ekonomi Mampan dan Berdikari

Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada model ekonomi lama. Penghasilan produk dengan nilai tambah tinggi, perlindungan harta intelek, dan rangsangan inovasi tempatan perlu dijadikan teras baharu. Malaysia kini berada di tangga ke-33 dalam Indeks Inovasi Global 2024 iaitu suatu petunjuk bahawa negara mempunyai asas yang kukuh untuk berkembang sebagai ekonomi berasaskan pengetahuan.

Menurutnya, negara kecil seperti Malaysia hanya akan dihormati apabila memiliki daya tahan ekonomi dan prinsip berdikari dalam dasar luar dan perdagangan.

YB Fadhli menutup saranannya dengan menyimpul bahawa krisis tarif Amerika Syarikat bukan sekadar cabaran semasa, tetapi peluang untuk Malaysia menyusun semula asas ekonomi dan memperkukuh kedudukan dalam ekosistem perdagangan global.

Pemimpin muda berpotensi besar itu yakin dengan diplomasi yang tegas, diversifikasi pasaran, reformasi struktur ekonomi dan pelindungan kebajikan rakyat,

"Malaysia boleh bangkit sebagai negara kecil yang berdikari dan bermaruah dalam pergelutan kuasa besar dunia," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments