Ticker

6/recent/ticker-posts

SEMUA AHLI PARLIMEN PN HADIR BINCANG ISU TARIF, TEGASKAN KEPERLUAN STRATEGI NEGARA HADAPI GELOMBANG GLOBAL

Oleh: Norzana Razaly 
 
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Semua 68  Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof hadir di Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan tarif dan mendengar perbahasan Ketua Pembangkang YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut.
 
Turut bersama ialah tiga lagi Ahli Parlimen muslimah PN dari Kedah dan Selangor yang menzahirkan kebimbangan terhadap impak kenaikan tarif Amerika Syarikat terhadap ekonomi Malaysia.
 
Mereka menyeru agar rakyat mengikuti secara rapat perkembangan ini kerana ia memberi kesan besar terhadap ekonomi dan kewangan perdagangan eksport negara.
 
“Jika tidak ditangani dengan segera dan bijaksana, ia berpotensi menjejaskan pendapatan isi rumah rakyat,” tegas mereka.
 
Dato’ Mumtaz dalam kenyataannya berkata, perbahasan yang berlangsung memperlihatkan betapa pentingnya Malaysia memiliki dasar yang tuntas dan berkesan dalam mendepani gelombang ekonomi global.
 
“Jelas menunjukkan, walau apa pun keadaan setempat, apabila ada gelombang global, kita kena hadap dan turut merasai hentakannya.
 
“Maka, perlu ada strategi dan polisi negara yang komprehensif. Sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial,” katanya ketika dihubungi, hari ini. 
 
Beliau turut menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin dan mengingatkan bahawa keprihatinan terhadap isu kemanusiaan sejagat tidak boleh dipisahkan daripada dasar dan pendirian negara.
 
“Sebab itu saya tidak akan melupakan Gaza dan Palestin. Kita sehati sejiwa – cubit di sana, di sini tetap terasa sakitnya,” katanya.

Post a Comment

0 Comments