Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM , 7 Mei– Universiti Malaya (UM), melalui Pusat Kecemerlangan Keterjaminan Makanan dan Pertanian Pintar (CoE FSIF), menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam pembangunan sektor padi organik di Kelantan.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bagi menjayakan tujuan tersebut, pihak UM diwakili oleh Ketua Pusat Kecemerlangan Keterjaminan Makanan dan Pertanian Pintar, Dr Fatihah Mohamed Zuki telah membentangkan potensi kerjasama strategik dalam pembangunan padi organik di Kelantan, ketika mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya, di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, pada Selasa.
"Dalam pembentangan tersebut, pihak UM memfokuskan kepada potensi kerjasama melibatkan penerapan teknologi pertanian pintar, termasuk penggunaan Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan platform pengurusan digital bagi pemantauan pertumbuhan padi, cuaca, kelembapan tanah dan input baja secara masa nyata," katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya pada Selasa.
Menurutnya lagi, kawasan yang dikenal pasti berpotensi sebagai tapak rintis bagi pembangunan padi organik itu ialah Desa Gemalai di Kampung Lubok Jambu, Mulong, yang diusahakan oleh syarikat Yusri Maju sejak tahun 2023.
Katanya lagi, projek berkenaan dijangka membawa impak positif dalam meningkatkan hasil pertanian secara mampan, selain menyokong kelestarian sumber makanan negara.
"Usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil dan kelestarian sumber makanan malah turut memberi nilai tambah kepada agropelancongan, agropendidikan dan pembangunan ekonomi tempatan berasaskan teknologi hijau," katanya.
Untuk rekod, kawasan Desa Gemalai di Kampung Lubok Jambu, Mulong telah ditanam dengan padi organik oleh syarikat Yusri Maju di atas tanah seluas dua hektar sejak tahun 2023.
Syarikat tersebut mempelajari kaedah penanaman padi organik daripada pakar pertanian padi organik dari Indonesia, Aep Saepudin.
0 Comments