Ticker

6/recent/ticker-posts

PROSES PENGAMBILAN TANAH PUNCA KELEWATAN PROJEK NAIK TARAF JALAN PASIR HOR KE PANCHOR


Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 5 Mei- Proses pengambilan tanah menjadi punca projek naik taraf jalan dari persimpangan jalan bertingkat di Pasir Hor sehingga ke Panchor di PT209 dan PT131 lewat disiapkan.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato' Dr Izani Husin berkata, tanah-tanah yang terlibat dengan projek tersebut adalah milik persendirian, menyebabkan proses pengambilan mengambil masa.

"Proses pengambilan ini melibatkan 360 lot tanah milik persendirian. Jadi pihak Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (JKPTG) mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan proses pengambilan ini, sekaligus menyebabkan sedikit kelewatan projek ini untuk disiapkan."

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak projek naik taraf jalan tersebut di PT131, Panji Kota Bharu, sempena lawatan kerja beliau ke projek tersebut hari ini.


Menurut beliau lagi, proses pengambilan tanah untuk projek tersebut dijangka selesai dalam masa tiga bulan lagi.

"Setelah semua proses pengambilan tanah selesai dalam masa tiga bulan ini, pihak kontraktor dapat membuat kerja dengan lebih cepat.

"Sebelum selesai proses pengambilan tanah sepenuhnya, pihak kontraktor terpaksa membuat kerja secara berperingkat-peringkat. Ini menyukarkan pergerakan jentera berat dan memakan masa serta menelan kos yang tinggi," katanya.

Tambah YB Dato' Dr Izani lagi, projek ini dijangka siap pertengahan tahun 2027.

"Insya Allah, setelah proses pengambilan tanah selesai sepenuhnya, pihak kontraktor dapat mempercepatkan projek ini dan dijangka siap dalam bulan Jun 2027.

"Segala kesulitan semasa projek ini berjalan seperti kesesakan lalulintas, pihak Jabatan Kerjaraya (JKR) akan cuba atasinya dengan menyediakan jalan alternatif bagi menyuarakan masalah trafik." tambah beliau. 

Untuk rekod, projek menaiktaraf jalan dari persimpangan bertingkat Pasir Hor sehingga ke Panchor bermula pada 17 Ogos 2021 di bawah Rancangan Malaysia (RMK11). 

Projek yang bernilai RM378 juta termasuk kos pengambilan tanah ini mencapai kemajuan 42.32 peratus setakat 28 April 2025. Projek ini melibatkan pembinaan jalan bertingkat, lampu isyarat, tiga buah jejantas, satu jambatan di Sungai Gu, pemindahan utiliti dan lain-lain.

YB Dato' Dr Izani turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan yang meluluskan projek menaiktaraf jalan tersebut demi kepentingan rakyat.

Terdahulu YB Dato'Dr Izani dan rombongan diberi taklimat oleh Pegawai Penguasa Projek, Ir Mazlan Mustapha. Turut hadir dalam lawatan kerja tersebut adalah Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan, Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof.


Post a Comment

0 Comments