Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 20 Mei – Pantai Irama, Bachok dipilih sebagai lokasi baharu penganjuran Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2025 yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini, menggantikan lokasi tradisi sebelum ini di Pantai Geting, Tumpat.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, perubahan lokasi dibuat berikutan kerja-kerja penambahbaikan yang sedang dijalankan di Pantai Geting.
“Pesta Wau Antarabangsa Kelantan lazimnya dianjurkan di Pantai Geting, namun untuk tahun ini, kita beralih ke Pantai Irama, Bachok kerana Pantai Geting sedang dalam proses penambahbaikan,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurut beliau, edisi kali ini menyaksikan penyertaan lebih 14 buah negara termasuk penyertaan sulung dari Ukraine, Jepun dan Korea Selatan.
“Antara negara yang mengesahkan penyertaan ialah China, Thailand, Singapura, Australia, Indonesia, Ukraine, Jepun dan Korea Selatan, selain wakil-wakil dari negeri-negeri seluruh Malaysia,” jelasnya.
YB Datuk Kamarudin turut mengajak seluruh rakyat Kelantan, khususnya peminat seni permainan tradisional untuk hadir memeriahkan acara tahunan yang berprestij ini.
“Pesta ini bukan sahaja memperkenalkan budaya kita ke peringkat antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan industri pelancongan warisan di Kelantan,” tambah beliau.
Sebagai daya tarikan tambahan, pertandingan Wau Bercahaya akan diadakan pada malam 23 Mei (Jumaat), bermula pukul 9.00 malam.
Pelbagai persembahan turut memeriahkan suasana sepanjang tiga hari penganjuran, antaranya persembahan dikir barat, pertunjukan permainan api (fireshow) dan lain-lain acara kebudayaan.
0 Comments