Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 21 Mei – Kelantan mempunyai bekalan lembu yang mencukupi bagi pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha 1446 Hijrah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata setakat ini tiada sebarang isu kekurangan bekalan lembu korban di negeri ini, malah kemasukan lembu dari negara jiran, Thailand, juga berjalan lancar mengikut peraturan sedia ada.
“Kelantan berjiran dengan Thailand, dan kemasukan lembu dari sana dilakukan secara teratur dengan proses pendaftaran serta suntikan vaksin lengkap.
"Maka, isu kekurangan lembu korban tidak timbul, begitu juga kebimbangan terhadap penyakit kerana lembu-lembu ini melalui kawalan kesihatan yang ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dato’ Tuan Mohd Saripudin menegaskan bahawa tiada sebarang laporan berkaitan penyakit lembu yang membahayakan kesihatan pengguna di Kelantan, termasuk penyakit yang boleh mengancam nyawa akibat pengambilan daging tercemar.
“Kes yang tular sebelum ini berlaku di luar Kelantan. Di negeri ini, tiada sebarang rekod penyakit sebegitu.
"Oleh itu, daging lembu di Kelantan adalah selamat untuk dimakan. Kita sangat mengutamakan suntikan vaksin bagi menjamin kesihatan haiwan ternakan sebelum disembelih untuk ibadah korban,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan umat Islam di negeri ini agar memilih lembu ternakan tempatan kerana ia dijamin lebih berkualiti dan berada dalam keadaan kesihatan yang baik.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Tuan Mohd Saripudin menyeru seluruh rakyat Kelantan terutamanya golongan petani, peladang, penternak dan nelayan untuk memeriahkan Karnival BioKelantan dan Expo Dapur Hijau (EDH) 2025 yang dijadual berlangsung pada 29 hingga 31 Mei 2025 di Pantai Bisikan Bayu, Tok Bali, Pasir Puteh.
Menurutnya, pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung termasuk demonstrasi penghasilan baja organik, masakan berasaskan ikan, teknik pembuatan bongkah cendawan, serta pelbagai aktiviti interaktif lain.
“Penganjuran turut diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti dikir barat, forum perdana Ehwal Islam bertemakan ‘Sains dan Islam’, kuiz serta cabutan bertuah," jelasnya.
Beliau berharap program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan mampu menyemarakkan semangat rakyat Kelantan dalam memajukan sektor pertanian negeri.
0 Comments