SALMAH MAT HUSAIN
BACHOK: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menyarankan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil pendekatan pembelajaran berorientasi gaya hidup digital dengan menguasai teknologi, peralatan dan perkhidmatan digital serta cara kerja berasaskan pengetahuan.
"Beta sentiasa memantau perkembangan serta pencapaian UMK sama ada pada peringkat nasional atau antarabangsa sepanjang tahun lalu.
"Pada era globalisasi kita sedang menyaksikan perubahan kehidupan dalam konteks bekerja, komunikasi atau mengakses maklumat," titah baginda sempena Majlis Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK ke-14 di sini semalam.
Baginda dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan.
Watikah pemasyhuran dipersembahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan turut disaksikan Menteri Besar Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Tengku Muhammad Fakhry Petra juga bertitah, UMK perlu menilai semula keseluruhan ekosistem universiti itu bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Titah baginda penilaian berkenaan turut merangkumi kurikulum pembelajaran yang lebih relevan, program pengajian serta aktiviti penyelidikan.
Bagaimanapun cabaran getir bakal dilalui warga universiti untuk terus kekal berdaya saing, relevan dan mampu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan semasa.
Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof Dr Arham Abdullah berkata, universiti itu mencipta sejarah tersendiri apabila berada di tempat kelima dalam seluruh universiti melalui interdisiplin sains.
Menurutnya juga graduan UMK menjadi contoh dan sentiasa bersedia menyumbang secara langsung dalam usaha mengangkat taraf hidup masyarakat.
"Kadar bekerja graduan mencapai sehingga 97.2 peratus manakala kadar kebolehpasaran graduan ialah 96.7 peratus," katanya.
Dalam tempoh 18 tahun UMK, seramai 23,677 graduan lepasan universiti itu mampu bersaing dalam pekerjaan.
Seramai 123 graduan menerima ijazah pada sidang pertama konvokesyen membabitkan 53 ijazah doktor falsafah dan 44 dalam ijazah mod penyelidikan.
0 Comments