SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Mahaad Muhammadi Lelaki muncul johan pertandingan Karnival Nasyid Festival Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan.
Manakala naib johan disandang Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat.
Festival Hari Belia Negara peringkat Kelantan malam tadi turut disertai Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam acara Night Colour Run.
Baginda berjalan kaki bersama lebih 1,000 peserta sejauh 1.9 kilometer bermula dari Dataran Rehal tiba di Stadium Sultan Muhammad IV kira-kira jam 9.50 malam.
Baginda turut berkenan menyempurnakan gimik perasmian festival berkenaan, di samping menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara kepada sembilan penerima.
Anugerah berkenaan bagi kategori lelaki dimenangi Muhammad Afiq Aiman Mohd Haslam dan wanita Zulfa Nazifah Azhar.
Majlis Belia Jajahan Gua Musang mendapat johan bagi kategori Anugerah Perdana.
Festival selama empat hari bermula 14 Mei itu anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri sebagai penghargaan kepada golongan belia yang gigih menyumbang kepada pembangunan negara.
Pelbagai pengisian turut diadakan termasuk pameran interaktif agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), persembahan kesenian tradisional seperti dikir barat, kertok, rebana ubi, gendang Cina dan silat, selain acara kemuncak Night Colour Run.
0 Comments