Oleh: Asyura Muhamad
SUNGAI PETANI, 18 Mei – Program Townhall Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menghimpunkan anak-anak Kelantan di perantauan disifatkan sebagai satu pendekatan berkesan dan perlu diperluaskan ke negeri-negeri lain.
Menurut Muhammad Ilmam Mushrief Zulkifli, 20, pelajar jurusan Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pimpinan kerajaan negeri.
“Kita boleh mendengar penerangan terus daripada pimpinan dan mengemukakan soalan tanpa perantara. Penjelasan yang diberikan juga lebih jelas dan memberi input bermanfaat kepada perantau seperti kami,” katanya yang berasal dari Taman Wangi, Gua Musang.
![]() |
Muhammad Ilmam Mushrief Zulkifli, 20 |
Menyokong kenyataan itu, Siti Nor Syazwani Afiqah Osman, 23, mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula menyifatkan penganjuran program seumpama itu sebagai satu inisiatif yang harus diteruskan kerana ia medium dialog dua hala perantau Kelantan dengan pemimpin.
“Program ini membuka ruang kepada perantau Kelantan untuk berdialog secara terbuka dengan pimpinan negeri. Saya rasa sangat seronok kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menyertai program sebegini,” ujarnya yang berasal dari Kampung Palekbang, Tumpat.
Majlis Townhall PMBI Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan bagi zon utara itu diadakan di Swiss Avenue Hotel di sini, dengan kehadiran kira-kira 300 peserta.
Program anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu menampilkan dua ahli panel iaitu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mohamad Nasriff Daud dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof.
![]() |
Siti Nor Syazwani Afiqah Osman, 23 |
0 Comments