KOTA DARULNAIM, 6 Mei – Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) diteruskan bagi tahun kedua pelaksanaannya, sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasa sektor pendidikan rakyat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, kesinambungan program tersebut didorong oleh kejayaan pelaksanaannya tahun lalu yang melibatkan penyertaan 1,350 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh 45 kawasan Dewan Negeri di Kelantan.
“Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan serta peningkatan prestasi pelajar, kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan program ini pada tahun ini,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad.
Beliau jua memaklumkan bahawa TRS akan dilaksanakan secara intensif selama dua bulan bermula Oktober ini, khususnya pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Pendekatan yang fleksibel dari segi jadual pembelajaran memberi ruang kepada pelajar untuk belajar dalam suasana yang lebih selesa dan berkesan,” tambahnya.
Terdahulu, Dato' Wan Roslan mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan TRS 2025 yang turut dihadiri timbalannya YB Kamaruzaman Mohamad serta wakil-wakil dari Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. (KIGSB), Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Bilik Mesyuarat Exco, Mabna, Kompleks Kota Darulnaim.
Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama strategik antara agensi pelaksana dapat menjamin kelancaran program serta memberi impak maksimum kepada para pelajar, khususnya calon peperiksaan utama seperti SPM.
“Semoga inisiatif ini dapat membantu anak-anak kita memperkukuh pencapaian akademik dan memanfaatkan masa mereka dengan ilmu yang bermanfaat,” ujarnya.
0 Comments