SALMAH MAT HUSAIN
BESUT: Mangsa yang terbabit kemalangan bas di Gerik baru-baru ini kini dirawat di Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun selepas dipindahkan daripada Hospital Gerik kelmarin.
Adun Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, beberapa pelajar masih dipantau pakar perubatan dan ada antaranya perlu menjalani pembedahan.
Katanya sebahagian lagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit kemalangan tersebut telah dibenarkan pulang.
"Seramai 14 pelajar dan dua pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di Gerik baru-baru ini saya ziarah di hospital Ipoh dan Taiping sambil menyampaikan sumbangan serta memberikan kata-kata semangat kepada mereka.
“Sayu hati melihat keadaan adik-adik kita yang berjuang pulih daripada kecederaan. Doakan mereka semua sembuh dengan sempurna,” ujar beliau ketika dihubungi di sini.
Beliau juga berkata, penyelarasan dengan peguam telah dibuat bagi membantu semua mangsa dari segi kebajikan dan undang-undang.
Dr Riduan turut menjunjung kasih kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di atas keprihatinan terhadap insiden yang menimpa pelajar UPSI dari Besut.
“Junjung kasih Tuanku. Kami warga Besut sangat menghargai kasih sayang Tuanku kepada anak-anak dari daerah kami yang sedang diuji.
"Rakyat Tuanku juga baik-baik belaka dan sangat berempati, mereka berdiri di tepi jalan memberikan penghormatan kepada konvoi van jenazah yang membawa pulang jenazah ke Besut," ujarnya.
Kemalangan tragis yang berlaku di Gerik itu mengundang simpati seluruh negara, dan pelbagai usaha sedang digerakkan bagi memastikan semua mangsa menerima perhatian serta sokongan sewajarnya daripada pelbagai pihak.
0 Comments