Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 12 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan melalui pelaksanaan aktiviti penanaman semula selepas aktiviti pembalakan dilakukan secara terkawal.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Husin yang juga Pengerusi Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) berkata, usaha tersebut dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama syarikat-syarikat swasta berpotensi dalam menjayakan projek Ladang Hutan di negeri ini.
“Sehingga kini, hampir 60,000 hektar telah dilaksanakan penanaman semula secara berfasa. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri benar-benar mengambil berat terhadap kelestarian pengurusan hutan,” katanya menerusi catatan di media sosial, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan seluruh warga kerja jabatan tersebut atas dedikasi mereka dalam menjayakan agenda pemuliharaan hutan.
Lebih membanggakan, jelas beliau, projek Ladang Hutan ini turut memberi manfaat besar dari segi sosial kepada masyarakat setempat.
“Ia membuka peluang pekerjaan, mengetengahkan kepakaran tempatan dalam bidang tisukultur dan nurseri, serta menjadi medium pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya pengurusan hutan yang mampan,” jelasnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Edubest Plantation Holdings atas kejayaan pelaksanaan projek Ladang Hutan yang mula diusahakan sejak tahun 2019 dan kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
"Tanah seluas 25,000 ekar yang diusahakan untuk penanaman semula spesis balak eucalyptus yang telah memasuki tahun kelima pelaksanaannya. Pemilihan spesis eucalyptus ini dibuat hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mengambil kira keperluan pasaran semasa.
"Spesis eucalyptus terbukti sesuai bagi penghasilan produk-produk berasaskan biomass dan kayu perabot bernilai eksport tinggi, menjadikan projek ini bukan sahaja mampan dari segi alam sekitar, malah berdaya saing dari sudut ekonomi," ujarnya.
Terdahulu, Dato' Dr. Izani bersama Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan Mohd Rahim Ramli dan Pengurus Besar KPK Che Iazmi Che Sof serta rombongan telah mengadakan lawatan kerja ke kawasan Projek Pembangunan Ladang Hutan di Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan di Kuala Betis, Gua Musang pada Rabu.
0 Comments