Oleh: Norzana Razaly
TUMPAT, 11 Jun – Demi memastikan kebajikan dan keselamatan mahasiswa terpelihara sepanjang musim perayaan, Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi menyaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan kaedah pembelajaran atas talian selama tiga hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri serta Aidiladha.
Saranan itu dikemukakan secara rasmi kepada Menteri Pengajian Tinggi melalui satu surat cadangan yang menekankan keperluan untuk menyesuaikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan realiti semasa, terutamanya dalam konteks keselamatan jalan raya dan kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Setiap tahun kita dikejutkan dengan insiden kemalangan maut yang melibatkan mahasiswa ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung sempena perayaan. Kita tidak boleh menunggu tragedi seterusnya untuk bertindak,” tegas Dato’ Mumtaz melalui hantaran laman sosial pada Selasa.
Menurut beliau, pelaksanaan PdP secara dalam talian untuk tempoh tiga hari sebelum dan selepas perayaan dapat mengurangkan tekanan perjalanan dalam kalangan mahasiswa, membolehkan mereka mengatur perjalanan secara lebih selamat dan tidak tergesa-gesa.
Antara rasional utama yang diketengahkan termasuk keselamatan dan kesihatan mahasiswa, dengan memberi ruang untuk mereka mengelakkan kesesakan jalan raya yang ekstrem dan mengurangkan risiko keletihan serta tekanan.
Beliau juga menggarisbawahkan kelancaran aliran trafik yang turut membantu pihak berkuasa dalam pengurusan lalu lintas semasa musim puncak.
Seterusnya, pengukuhan nilai kekeluargaan, membolehkan mahasiswa meraikan hari raya dengan lebih bermakna bersama keluarga dan kekal akses kepada pendidikan, menerusi penggunaan platform digital sedia ada yang membolehkan PdP diteruskan tanpa kehadiran fizikal.
Terakhir ialah pengurusan kos dan masa perjalanan, khususnya dalam mengelakkan pembelian tiket pada harga tinggi ketika waktu puncak.
Beliau turut memaklumkan bahawa kebanyakan institusi pengajian tinggi telah dilengkapi dengan infrastruktur teknologi yang mencukupi untuk menyokong pelaksanaan PdP secara hibrid dan fleksibel, sekali gus menjadikan saranan ini sebagai sesuatu yang praktikal dan mampu dilaksanakan dengan segera.
“Dengan adanya fleksibiliti ini, mahasiswa dapat terus belajar tanpa mengabaikan keperluan emosi dan keselamatan diri. Inilah erti pendidikan yang menyeluruh dan berperikemanusiaan,” jelasnya lagi.
Dato’ Mumtaz berharap agar pihak Kementerian dapat memberi pertimbangan serius terhadap saranan tersebut dalam usaha mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih responsif, selamat dan sejahtera.
0 Comments