Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 15 Jun – Sempena sambutan Hari Bapa tahun ini, Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh institusi keluarga melalui pelaksanaan Dasar Qawwamah Lelaki Kelantan yang memartabatkan peranan lelaki sebagai pelindung, pembimbing dan tonggak keluarga berlandaskan prinsip Islam.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, dasar tersebut lahir daripada kesedaran kerajaan negeri terhadap tanggungjawab besar yang digalas oleh seorang lelaki, khususnya sebagai suami dan bapa dalam membina keluarga yang sejahtera.
“Bapa adalah insan yang sering menyembunyikan keletihan di balik senyuman. Dalam diam, mereka memikul beban dan tanggungjawab demi memastikan keluarga hidup dalam kasih sayang dan kecukupan. Justeru itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Qawwamah Lelaki Kelantan bagi membentuk lelaki yang qawwam – bertanggungjawab, berwibawa serta melindungi keluarga bukan sekadar dari sudut zahir, tetapi juga spiritual dan emosi,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Bapa, hari ini.
Beliau menjelaskan, dasar tersebut memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah lelaki melalui pendidikan berteraskan nilai Islam, sokongan psikososial, pengukuhan akhlak, serta latihan kepimpinan kekeluargaan yang holistik.
“Qawwamah bukan dominasi, tetapi amanah. Ia meletakkan lelaki sebagai pemimpin yang adil, penyayang dan berintegriti, serta menjadi pelindung dalam erti sebenar kepada isteri, anak-anak dan anggota keluarganya,” katanya.
Tambah beliau, dasar tersebut merupakan sebahagian daripada strategi besar kerajaan negeri dalam memperkukuh struktur sosial masyarakat Kelantan melalui pembinaan keluarga harmoni yang berpaksikan iman dan tanggungjawab.
Dato' Mohd Nassuruddin turut merakam ucapan penghargaan kepada seluruh bapa atas pengorbanan dan kasih sayang yang tiada bertepi dalam mendidik serta membimbing anak-anak ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Semoga segala pengorbanan dan kasih sayang para bapa diberkati dan dibalas dengan ganjaran berpanjangan di dunia dan akhirat. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah kekal sepanjang masa,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.
0 Comments