Ticker

6/recent/ticker-posts

GANDINGAN PICET-SUKIRIT PERKUKUH KELANTAN WARRIORS


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 14 Jun 2025 – Kelantan Warriors mempertaruh gandingan dua generasi pemain Thailand Picet Pansan dan Sukirit Wachaburanaphong sebagai strategi utama mengukuhkan cabaran dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier musim ini.

Bekas perejam kebangsaan Thailand Picet Pansan, yang sarat pengalaman di pentas antarabangsa, diangkat sebagai tonggak utama pasukan. Sementara itu, Sukirit Wachaburanaphong, pemain muda yang dikenal pasti memiliki potensi besar, dibawa masuk untuk memperkukuh posisi tekong.

Menurut Timbalan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) Mohamad Mohydddin Mohamed Nor, kombinasi tenaga senior dan muda dari Thailand itu diyakini mampu melonjakkan prestasi Kelantan Warriors ke tahap lebih kompetitif.


“Kehadiran Picet memberikan kekuatan dari segi ketenangan, disiplin serta kemahiran taktikal. Sukirit pula mempunyai servis bertenaga dan semangat tinggi yang bakal menyuntik elemen dinamik kepada pasukan,” katanya pada sesi sidang media selepas Majlis Makan Malam Kelantan Warriors di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.

Beliau turut menyatakan bahawa pemilihan kedua-dua pemain berkenaan adalah hasil perancangan rapi GASTAK bagi memastikan Kelantan Warriors tampil lebih bersedia musim ini, dengan harapan mencabar kelompok teratas liga.

“Kita sasarkan bukan hanya prestasi mingguan, tetapi konsistensi sepanjang musim. Gandingan ini adalah pelaburan jangka sederhana dan panjang untuk mencipta pasukan yang mampu bersaing dan menang,” jelasnya.

Pasukan Kelantan Warriors juga dibarisi mantan tekong Penang Black Panthers Ikhwan Syafiq Mohd. Fitri yang turut menjadi antara tonggak yang memperkuat pasukan selain Muhammad Adli Abu Bakar (apit kiri), Muhammad Zulfikri Wajawwa (apit kiri), Muhammad Izham Zaidi (perejam) dan Muhammad Imran Omar (tekong).




Post a Comment

0 Comments