KOTA DARULNAIM, 5 Jun – Lebih dua juta kenderaan dijangka membanjiri jalan raya utama di Kelantan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini, susulan kepulangan perantau ke kampung halaman bagi menyambut hari kebesaran Islam bersama keluarga dan menunaikan ibadah korban.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Hussin berkata, lonjakan trafik kali ini dijangka melebihi jumlah kenderaan semasa musim Aidilfitri lalu, sejajar dengan cuti panjang dan penglibatan ramai dalam ibadah korban.
“Kita menjangkakan pertambahan ketara jumlah kenderaan memasuki negeri ini, terutama di laluan masuk utama dan pusat bandar. Namun, kita yakin pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia sepenuhnya untuk mengawal aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Dato' Dr. Izani memaklumkan bahawa sebanyak 41 lokasi telah dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kesesakan dan berisiko tinggi berlaku kemalangan, justeru kawalan dan rondaan akan dipertingkatkan di kawasan terbabit sepanjang musim perayaan.
“Antara laluan yang sering mencatatkan kes kemalangan serius termasuk Jalan Pasir Mas–Rantau Panjang, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai serta Jalan Gua Musang–Jeli. Laluan-laluan ini akan diberi perhatian khas kerana aliran trafiknya sangat tinggi menjelang dan selepas hari raya,” jelas beliau.
Pihak berkuasa juga akan melaksanakan pemantauan berterusan termasuk penggunaan teknologi pengawasan serta penyelarasan trafik di persimpangan utama, khususnya yang menghubungkan laluan persekutuan dan lebuh raya.
Orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kesesakan berpanjangan serta risiko kemalangan.
“Keutamaan kita bukan sahaja kelancaran trafik, tetapi keselamatan pengguna jalan raya. Oleh itu, pemandu diminta sentiasa berwaspada, elakkan pemanduan berlebihan tanpa rehat serta patuhi had laju,” ujarnya.
0 Comments