Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 30 Jun – Mesyuarat Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) menjadi platform penting dalam membincang, merangka dan memperhalusi dasar serta inisiatif strategik pembangunan dan kesejahteraan luar bandar, kata Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Husin.
Katanya, mesyuarat yang turut disertai oleh Exco-Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio pembangunan luar bandar, merupakan medan terbaik untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dan perlu diadakan lebih kerap.
“MEXCLUB bukan sahaja membuka ruang perbincangan yang konstruktif, malah menjadi landasan kepada penyaluran isu dan permasalahan setempat secara menyeluruh. Justeru, saya mencadangkan agar mesyuarat seperti ini dikerapkan agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi."
Beliau berkata demikian menerusi satu catatan di media sosial miliknya pada Ahad.
Terdahulu, Dato' Dr. Izani turut menyertai MEXCLUB Bil 1/2025 yang dipengerusikan oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid, di Sunway Resort, Petaling Jaya pada Khamis.
Dalam mesyuarat tersebut, Dato' Dr. Izani turut mengambil inisiatif menyampaikan secara langsung kepada Timbalan Perdana Menteri senarai cadangan projek pembangunan utama yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan.
"Dalam ruang mesyuarat tersebut, saya telah mengambil inisiatif untuk menyampaikan secara langsung kepada YAB Timbalan Perdana Menteri senarai ‘wishlist’ projek-projek pembangunan yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.
"Kami yakin, pelaksanaan projek-projek yang disenaraikan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri serta membawa limpahan manfaat kepada kesejahteraan sosial rakyat Kelantan," ujarnya.
Beliau juga turut memperkenalkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebuah kawasan berpotensi tinggi di utara Kelantan iaitu Pulau Kundur, yang digambarkan sebagai “permata pelancongan budaya yang masih tersembunyi”.
“Pulau Kundur mempunyai keunikan tersendiri. Ia terletak di antara Laut China Selatan di timur dan sebuah sungai yang tenang di barat, ia dikelilingi rimbunan pohon nipah dan menjadi pusat kegiatan ekonomi komuniti termasuk penternakan ikan dalam sangkar serta penyadapan tuak nipah,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan undangan rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri untuk melawat lokasi tersebut sudah pun dilaksanakan.
Dato' Dr. Izani amat berharap agar pihak kementerian dapat mengambil tindakan yang pantas dan proaktif terhadap setiap pandangan serta permohonan yang telah dikemukakan.
"Kerajaan negeri sentiasa terbuka dan komited untuk bekerjasama demi kemajuan rakyat serta kelestarian pembangunan luar bandar yang inklusif dan mapan,"katanya.
0 Comments