Ticker

6/recent/ticker-posts

HARAKAH SEDIA JADI LIDAH RASMI SG4 – YB AHMAD FADHLI


Oleh: Norzana Razaly

BANGSAR, 21 Jun – “Walaupun 100,000 pendengar tidak dapat mendengar khutbah terakhir Rasulullah SAW secara langsung, mereka tetap menerima mesej yang benar – kerana amanah dan etika penyampai.”

Demikian perumpamaan signifikan yang dilontarkan Ketua Pegawai Eksekutif Harakah YB Ahmad Fadhli Shaari ketika memberi jaminan bahawa Harakah bersedia sepenuhnya untuk menjadi lidah rasmi bagi kerjasama gabungan empat negeri (SG4).

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga, media yang memegang prinsip kewartawanan berani dan adil adalah nadi penting dalam membentuk kefahaman masyarakat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan negeri.

"Harakah bersedia memberi komitmen penuh untuk melaporkan secara bertanggungjawab dan berintegriti, selari dengan aspirasi SG4.

"Kita mahu komuniti media berada dalam dunia yang sama menyampaikan kebenaran dengan keberanian dan keadilan,” tegas beliau.


YB Ahmad Fadhli berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) SG4 2025, yang berlangsung di sebuah hotel di Bangsar, malam ini.

Beliau turut menggesa agar prinsip etika kewartawanan yang luhur dan waras perlu dilaporkan secara konsisten agar menjadi legasi yang kekal dikenang dalam lipatan sejarah.

“Apa yang kita tulis hari ini adalah dokumen sejarah untuk masa depan. Wartawan bukan sekadar pencatat, tetapi penjaga kebenaran. Seperti para perawi hadis, tugasnya bukan mudah, tetapi kesannya besar,” katanya lagi.

Majlis makan malam tersebut menghimpunkan para pengamal media di Malaysia termasuk ketua-ketua pengarang dan wartawan kanan dalam satu sesi jaringan yang turut meraikan peranan media sebagai rakan strategik.

Post a Comment

0 Comments