Ticker

6/recent/ticker-posts

KADAR PENYALAHGUNAAN DADAH DI KELANTAN MENURUN - EXCO BELIA

YB Zamakhshari Muhamad,
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 19 Jun- Statistik yang dikeluarkan oleh ibu pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukan kadar penyalahgunaan dan penagihan dadah di Kelantan setakat Mac 2025 mengalami penurunan sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2024.

Demikian menurut Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad.

Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Kelantan berkata, berdasarkan statistik tersebut, Negeri Kelantan berada di kedudukan keempat berbanding di kedudukan ketiga bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Setakat Mac 2025 ini, jumlah penyalahgunaan dan penagihan dadah di Kelantan berjumlah 11,280, menurun sebanyak 648 atau 5.4 peratus, berbanding 11,928 bagi tempoh yang sama pada tahun lepas dan berada di kedudukan keempat berbanding ketiga pada tahun lepas.

"Tahniah diucapkan kepada pihak AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas kejayaan menurunkan jumlah penyalahgunaan dan penagihan dadah di Kelantan dan usaha ini perlu dipertingkatkan lagi."


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah 2025, Peringkat Negeri Kelantan, di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari ini.

Tambah YB Zamakhshari lagi, penyalahgunaan dan penagihan dadah bukan sahaja menghilangkan produktiviti, malah membawa kepada kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan keselamatan negara.

"Ramai anak muda yang berpotensi akan terjejas akibat dadah. Ini memberi kesan kepada kemajuan ekonomi negara dalam jangka masa yang panjang. Pada masa yang sama juga, ia menyebabkan keruntuhan dan kerosakan institusi keluarga," tambahnya.

Dalam usaha membendung masalah dadah ini juga, YB Zamakhshari mengharapkan penglibatan aktif semua pihak termasuk individu, institusi keluarga, sektor pendidikan, komuniti, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan sosial, pengamal media, dan ahli politik.

"Setiap kategori ini memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kesan penyalahgunaan dan penagihan dadah serta bahan terlarang dapat dikurangkan ataupun dicegah sepenuhnya," jelasnya.

Beliau turut menyeru semua masyarakat untuk menjadi mata telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang bentuk aktiviti yang mencurigakan terutama yang berkaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Jangan biarkan budaya takut dan malu untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa. Ia menjadi penghalang kepada usaha untuk menyelamat lebih ramai terutama generasi muda daripada terlibat dengan najis dadah," ujarnya.

Sebagai rekod, statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat AADK, Selangor berada di kedudukan pertama setakat Mac 2025 dalam kes penyalahgunaan dan pengagihan dadah dengan jumlah 11,703 kes, Kedah di kedudukan kedua dengan jumlah 12,259 kes dan Johor di kedudukan ketiga dengan 12,154 kes, manakala Kelantan di kedudukan keempat dengan jumlah 11,280 kes.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah AADK Negeri Kelantan, Supinfi Yusop, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Kelantan, YDH CP Dr Douglas Nyeging Taong, Wakil Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Norfadila Zakaria dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Post a Comment

0 Comments