Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 18 Jun- Tidak wujud aktiviti perlombongan emas secara haram yang berskala besar di hutan Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan kenyataan tersebut selepas Mesyuarat Exco di Mabna, hari ini.
Menurutnya, laporan tentang perlombongan secara haram adalah secara kecil-kecilan yang dilakukan oleh rakyat secara mendulang.
"Saya telah merujuk kepada Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan dan mendapati perlombongan haram yang dimaksudkan adalah secara kecil-kecilan yang dilakukan oleh penduduk dengan cara mendulang.
"Bilangannya dari tahun 2020 hingga 2025 hanya empat kes sahaja.
"Kita telah panggil mereka yang terlibat dan diberi nasihat berhubung dengan prosedur dan langkah-langkah keselamatan," jelasnya.
Beliau turut memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang perlombongan haram berskala besar supaya segera melaporkan kepada pihak kerajaan.
"Setakat ini tidak ada perlombongan haram berskala besar, yang ada hanya perlombongan yang tidak mematuhi peraturan terhadap syarat-syarat perlombongan.
"Jika ada maklumat berlaku aktiviti perlombongan emas secara haram yang berskala besar segera laporkan kepada kerajaan berserta dengan bukti.
"Pihak kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya," ujarnya.
0 Comments