Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN PACU PERTUMBUHAN INDUSTRI TENAGA BOLEH BAHARU DENGAN PROJEK SOLAR SKALA BESAR


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 3 Jun– Kelantan terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan lestari apabila memeterai perjanjian (MoU) pembangunan dan pemasangan Projek Solar Berskala Besar (Large Scale Solar, (LSS) di antara Samaiden Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), di bawah program LSS5 Malaysia.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin berkata, projek tersebut bakal dibangunkan di kawasan seluas hampir 400 ekar (162 hektar) di Kampung Serongga, mukim Apam, Gual Periok menjadikannya sebagai antara projek tenaga hijau terbesar yang pernah dirancang di negeri Kelantan.

"Projek ini melibatkan pemasangan sebanyak 279,390 unit modul fotovoltaik (PV), dengan kapasiti eksport maksimum 99.99 megawatt (MW) arus ulang-alik (AC).

"Tenaga elektrik yang dijana akan disalurkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui satu Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA).


“Setelah siap kelak, projek ini dijangka mengatasi Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban dan menjadi projek solar terbesar di Kelantan," katanya menerusi catatan di media sosial miliknya pada Jumaat.

Katanya lagi, dari aspek ekonomi, PKINK dijangka meraih hasil sekitar RM30 juta sepanjang tempoh 21 tahun menerusi pajakan tanah dan cukai penilaian hartanah, memberikan pulangan yang stabil serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

"Projek ini turut memanfaatkan penggunaan tanah terbiar atau kurang produktif, sekaligus meningkatkan nilai hartanah di kawasan terlibat," jelasnya.

Ujar beliau lagi, usaha tersebut menandakan kemajuan sektor tenaga boleh diperbaharui di Kelantan. Sekali gus membuka ruang kepada pelaburan baharu dalam teknologi hijau.


Ia turut menjadi pemangkin kepada kemasukan teknologi moden serta menggalakkan pembangunan ekonomi negeri secara mampan.

"Dari sudut sosial dan alam sekitar, projek ini berpotensi menjana peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, khususnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.

"Ia juga menyediakan platform latihan dan pendedahan industri kepada graduan tempatan. Dalam jangka panjang, penggunaan tenaga solar ini bakal menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan membantu Kelantan mendepani cabaran perubahan iklim," ujarnya.

Dalam majlis yang diadakan pada Rabu lalu, PKINK diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Nazri Ismail, manakala Samaiden diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden Datuk Ir. Chow Pui Hee.

Majlis tersebut disaksikan olehDato' Dr Izani Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Dato' Sr Zamri Ismail.

Post a Comment

0 Comments