![]() |
YB Mohamad Nasriff Daud, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir |
Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 3 Jun – Seramai 600 peserta membanjiri perkarangan Dewan Majlis Daerah Pasir Mas bagi menyertai program tahunan 10K Langkah Ameerah Bersama Keluarga 2025 yang menyerlahkan gaya hidup sihat.
Program anjuran Ameerah Pasir Mas buat kali ketiga itu bertemakan keluarga dan mendapat kerjasama erat bersama Persatuan Aspirasi Pasir Mas dan Kelab Prihatin Pasir Mas.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir, YB Mohamad Nasriff Daud menyifatkan program kecergasan fikizal yang menjadi salah satu slot khas dalam acara Senimas Vintage dan Kesenian Anak Muda tersebut menjadikan pengisian tahun ini lebih segar dan inklusif.
Beliau memuji usaha Ameerah Pasir Mas dan rakan penganjur yang konsisten dalam menjadikan program kemasyarakatan berkenaan sebagai wadah kesihatan, perpaduan dan kebajikan komuniti.
“Langkah kita hari ini bukan hanya untuk kesihatan tubuh, tetapi juga melambangkan langkah bersama membina keluarga dan masyarakat yang sejahtera,” ujarnya dalam ucapan perasmian, pada Sabtu.
Menurut Pengerusi Ameerah Pasir Mas Nur Atikah Sudin, seawal pukul 7.30 pagi, peserta berkumpul di perkarangan dewan untuk memulakan langkah bersama keluarga dan pemimpin setempat di pintu gerbang Senimas Vintage yang terletak di hadapan dewan MDPM, menyusuri laluan sekitar bandar Pasir Mas.
”Program yang disusun rapi bertepatan dengan cuti sekolah penggal pertama, membolehkan penyertaan 600 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
"Apatah lagi ia turut dimemeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat isteri Menteri Besar Kelantan Datin Panglima Perang Datin Wan Norhanita Wan Yaacob dan isteri YB ADN Pengkalan Pasir Rosilawaty Abu Bakar,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Turut mengiringi, Pengerusi Kelab Prihatin Pasir Mas Dr. Ahmad Syakir Mohd Nassuruddin dan aktivis masyarakat dan pakar kesihatan komuniti Dr. Muhammad Izzat Md Kamal.
Perbezaan dengan edisi tahun sebelumnya, tahun 2023 tampil dengan tema “Run with Boots, Fun with Books”, manakala tahun 2024 membawa semangat patriotik melalui tema “Langkah Serikandi Demi Pertiwi”, edisi kali ini lebih menyentuh nilai asas kekuatan ummah iaitu keluarga.
Sepanjang program, peserta turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sokongan seperti senamrobik, cabutan bertuah, pameran kesihatan dan jualan komuniti.
0 Comments