Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN PERUNTUK RM1 JUTA UNTUK BANTUAN BAJA PADI, ORGANIK


Oleh : Asri Hamat
Kredit foto Media Exco

KOTA DARULNAIM, 17 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi bantuan baja padi dan baja organik kepada para pesawah dan petani di seluruh Kelantan dalam usaha memperkasa sektor pertanian serta memperkukuh ekosistem pertanian hijau di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan tersebut disalurkan dalam bentuk baja foliar padi, baja organik dan baja organik cecair, yang boleh dipohon melalui penghulu, pusat khidmat DUN serta agensi berkaitan seperti Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan Jabatan Pertanian Kelantan.

“Melalui fasa pertama program ini bagi tahun 2025, seramai 252 orang peserta menerima bantuan melibatkan 942 botol baja foliar, 148 beg baja organik serta 23 botol baja organik cecair,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya pada Isnin.


Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin merasmikan Program Bantuan Baja Organik dan Baja Padi Peringkat Negeri Kelantan di Markas Dewan Ulama Machang (MADU) Machang pada Isnin.

Seramai 63 peserta Seminar Cakna Organik Kelantan mendapat pendedahan mengenai amalan pertanian lestari, pensijilan MyGAP dan myOrganik, serta peranan penting Kelantan Organic Research Centre (KORC) dalam memperkukuh ekosistem pertanian hijau di Kelantan.

Dalam masa sama, Dato’ Tuan Mohd Saripudin turut menyempurnakan perasmian Pusat Penyelidikan Organik Kelantan atau Kelantan International Orgsnic Research Centre (KORC) kendalian KBCSB yang merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di Labok Machang.


"KORC berperanan membangunkan industri bioteknologi, pertanian organik, serta penghasilan produk berasaskan mikrob melalui pendekatan penyelidikan dan inovasi.

“Semoga KORC menjadi pemangkin kepada ekosistem pertanian hijau dan lestari, selaras dengan gagasan ‘Bertani Satu Ibadah’,” ujar beliau lagi.

Turut hadir, Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN).

Post a Comment

0 Comments