Oleh: Asri Hamat
Kredit foto Media Exco
KOTA DARULNAIM, 16 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan penubuhan sebuah komuniti petani nanas berskala besar sebagai langkah strategik memperkukuh sektor pertanian negeri dan menjana pendapatan mapan untuk rakyat luar bandar.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif itu dilihat berpotensi besar untuk dimajukan secara berkelompok dan mampu menjadi model kejayaan agrokomuniti luar bandar di peringkat nasional.
Bagi merealisasikannya, Dato’ Tuan Mohd Saripudin bersama pihak berkaitan industri telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek tanaman nanas yang diusahakan oleh Kumpulan Syarikat Aqina di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) pada 11 dan 12 Jun bersama para pesertanya sebagai langkah awal meneliti pendekatan terbaik ke arah pembentukan komuniti tersebut.
“Lawatan ke TKPM Lanchang Temerloh ini membuka peluang kepada Kelantan untuk menjadikan tanaman nanas sebagai satu industri pertanian berdaya saing, yang bukan sahaja meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar, bahkan berperanan sebagai satu bentuk ibadah dan sumbangan kepada ekonomi negeri,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad.
Lawatan berkenaan diketuai sendiri oleh YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin dan disertai oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Jaafar, Pengurus Besar Darulnaim Agro Management Industries Sdn. Bhd. (DAMAI) Nasrul Hakimi Mohd Nasir, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang Jusrin Yusop, serta Pengarah Urusan Aqina Fruits Wesley Tan.
Seramai 50 peserta terdiri daripada petani dan penghulu sekitar kawasan DUN Gaal turut menyertai lawatan tersebut bagi menimba ilmu dan pengalaman berkenaan teknik penanaman nanas secara sistematik dan komersial.
Tambah Dato’ Tuan Mohd Saripudin, projek yang diusahakan oleh Aqina Farm merupakan sebahagian daripada program pembangunan komuniti B40, melibatkan penyertaan daripada tujuh buah Felda di negeri jiran.
“Projek ini turut mendapat sokongan padu daripada Agrobank, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Kerajaan Negeri Pahang, serta melibatkan kawasan penanaman seluas lebih 300 ekar,” ujarnya.
0 Comments