![]() |
YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 29 Jun – Pergolakan geopolitik dunia yang sedang melanda telah memberi kesan ketara terhadap keupayaan ekonomi global, termasuklah Malaysia dan negeri Kelantan yang tidak terkecuali merasai tempiasnya.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan hal demikian dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang berlangsung di Kelantan Trade Center (KTC), di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau kekal optimis dan yakin dengan kemampuan seluruh warga kerja serta syarikat-syarikat di bawah naungan Kumpulan PKINK untuk terus bangkit memainkan peranan secara proaktif dan berkesan dalam mendepani cabaran semasa.
“Saya menyeru agar semua pihak terus meningkatkan kemahiran, memperkukuh tahap profesionalisme dan melonjakkan prestasi kerja demi memacu Kelantan ke arah ekonomi yang lebih mampan, kompetitif dan sejahtera, walau apa jua cabaran mendatang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa PKINK bukan sahaja berfungsi sebagai agensi pelaksana pembangunan sosioekonomi, industri dan komersial negeri, malah menjadi teras utama dalam merealisasikan agenda pembangunan Kelantan yang selari dengan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh warga PKINK atas usaha gigih dan dedikasi berterusan dalam memacu pembangunan negeri.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Semoga pengiktirafan ini menjadi pencetus semangat untuk terus menabur bakti dengan lebih cemerlang, selain menjadi inspirasi kepada rakan sekerja yang lain,” ujarnya.
0 Comments