Ticker

6/recent/ticker-posts

REE PACU EKONOMI BAHARU, PMBK- LYNAS METERAI KERJASAMA STRATEGIK


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM , 1 Jun – Unsur Nadir Bumi (REE) yang dikenal pasti sebagai sumber mineral baharu di bumi Kelantan bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan syarikat Lynas Malaysia.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung pada Jumaat itu menandakan detik bersejarah dalam usaha kerajaan negeri untuk meneroka dan memanfaatkan sepenuhnya potensi REE yang terdapat di tanah milik PMBK.

Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan REE sebagai anugerah Allah SWT yang perlu diurus secara berhemat dan bertanggungjawab agar manfaatnya kembali kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Saya menaruh harapan tinggi agar kerjasama ini bukan sahaja melibatkan aktiviti di peringkat huluan, malah meliputi keseluruhan rantaian industri termasuk peringkat pertengahan dan hiliran.


"Pendekatan menyeluruh ini penting dalam mewujudkan ekosistem industri REE yang mampan serta menyumbang secara langsung kepada ekonomi negeri,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya pada Jumaat.

Beliau turut menekankan kepentingan pemindahan teknologi dan kepakaran melalui kerjasama strategik ini, dengan harapan pembangunan modal insan tempatan yang berkemahiran tinggi dapat direalisasikan.

“Saya berharap Lynas dapat memainkan peranan aktif dalam bimbingan operasi carigali dan pengeluaran REE yang menepati piawaian serta amalan terbaik antarabangsa,” katanya lagi.

Terdahulu beliau mewakili PMBK menandatangani MoU dengan syarikat Lynas Malaysia yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Manda Lacaze, di Putrajaya.


Sementara itu Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan yang turut hadir dalam majlis menandatangani MoU tersebut menjelaskan bahawa penilaian awal menunjukkan Kelantan memiliki simpanan REE sebanyak 2.5 juta tan, dengan 30 peratus daripadanya terletak di luar kawasan hutan simpan.

"Ini membolehkan penerokaan REE dapat dilaksanakan mengikut dasar dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menekankan kelestarian alam.

"PMBK yang memperoleh kelulusan Lesen Melombong Tuan Punya pada April 2025 bagi kawasan 380 hektar, dengan sasaran pengeluaran komersial pada tahun 2027, tertakluk kepada kelulusan dan pematuhan peraturan yang berkuat kuasa," katanya juga menerusi catatan di media sosial miliknya pada Jumaat.

Tambahnya, kerajaan negeri bertekad membangunkan industri berkenaan secara menyeluruh, termasuk pemindahan teknologi, pembangunan tenaga kerja mahir dan pembentukan ekosistem industri mampan.


"Oleh itu, kerjasama ini penting dalam merealisasikan potensi sumber asli Kelantan sebagai pemangkin ekonomi negeri, serta menjadi wasilah keberkatan dan kesejahteraan rakyat", ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths, Amanda Lacaze seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan berkata, MoU itu bakal menggabungkan pengalaman lebih satu dekad Lynas dalam industri nadir bumi dengan potensi besar sumber tempatan di Kelantan.

"Lynas berbesar hati untuk menandatangani MoU ini dengan PMBK. Ini menandakan satu pencapaian penting bukan sahaja untuk syarikat, malah untuk pembangunan industri nadir bumi Malaysia secara menyeluruh," katanya.

Menurutnya lagi, simpanan tanah liat ionik di Malaysia, terutamanya di Kelantan mempunyai potensi tinggi untuk menjadi bahan mentah utama bagi operasi Lynas pada masa hadapan, memandangkan kandungan unsur nadir bumi beratyang tinggi dan amat diperlukan dalam pengeluaran teknologi masa hadapan seperti kenderaan elektrik dan peralatan elektronik canggih.

Post a Comment

0 Comments