Ticker

6/recent/ticker-posts

SEGERAKAN NAIK TARAF LALUAN GERIK- JELI DEMI KESELAMATAN RAKYAT- EXCO KERJARAYA


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM , 11 Jun – Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi menaik taraf laluan Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) Gerik-Jeli, susulan kemalangan maut pada Isnin lalu yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata insiden tersebut menyerlahkan kelemahan serius aspek keselamatan di laluan kritikal itu dan menuntut perhatian segera daripada pihak berkuasa pusat.

“Saya amat kesal kerana laluan sepenting ini terus terpinggir. Sedangkan projek mega seperti pembinaan LRT di Pulau Pinang menerima peruntukan besar sehingga RM10.5 bilion tetapi jalan Gerik-Jeli pula masih terbiar dengan pelbagai isu keselamatan yang membimbangkan,” katanya menerusi catatan di media sosial miliknya pada Selasa.

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan peruntukan RM30 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun 2023, apabila keadaan jalan masih gelap, tiada pencahayaan mencukupi dan garisan jalan reflektif yang jelas juga tidak disediakan.

“Ke mana perginya peruntukan tersebut? Keselamatan rakyat harus diutamakan tanpa kompromi,” tegas beliau.

Dato’ Dr. Izani juga mencadangkan agar penghadang jalan yang sedia ada dikaji semula dengan mengambil kira pendekatan lebih selamat dan praktikal seperti pemasangan concrete barrier, wire rope barrier dan roller barrier.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menjamin keselamatan rakyat yang seharusnya melangkaui sempadan politik.

“Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa tragedi ini. Ia amat menyayat hati dan satu kehilangan besar buat negara,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam pemanduan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Post a Comment

0 Comments