Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 11 Jun — Sambutan Hari Mabit yang berlangsung serentak di 14 kawasan Parlimen seluruh Kelantan pada 12 Zulhijah 1446H telah menjadi kesinambungan kepada kejayaan program Hari Wukuf yang turut dilaksanakan serentak pada 9 Zulhijah.
Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan tersebut merupakan sebahagian usaha tahunan dalam menghidupkan penghayatan ibadah haji dalam kalangan rakyat serta menyemarakkan nilai-nilai spiritual dan solidariti ummah melalui simbolik ibadah wukuf dan mabit.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, sambutan Hari Mabit yang dianjurkan pada hari-hari tasyrik memperingati peristiwa bermalam di Muzdalifah oleh jemaah haji, sekali gus membawa makna besar terhadap penyatuan hati umat Islam.
![]() |
YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
“Program Hari Mabit bukan sekadar mengajak masyarakat bertaqarrub kepada Allah SWT melalui zikrullah dan ibadah berjemaah, tetapi juga menjadi wahana persefahaman dan pengukuhan ikatan umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan media melalui laman rasmi beliau pada Isnin.
YB Mohd Asri turut menyatakan harapan agar para pemimpin dunia Islam yang berhimpun di Tanah Suci dapat mengambil peluang bertemu secara rasmi dan berbincang secara langsung mengenai tindakan kolektif dalam menangani isu-isu global ummah.
“Kita meletakkan harapan tinggi agar Kerajaan Arab Saudi dapat memfasilitasi pertemuan tersebut yang penting untuk memperkukuh kesatuan umat, termasuk dalam usaha membela Masjid al-Aqsa dan nasib saudara kita di Palestin,” jelas beliau.
Sambutan kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu mendapat sambutan meluas daripada masyarakat, termasuk penglibatan aktif Ahli Parlimen di setiap kawasan.
Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari turut merakam penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas penganjuran program yang membolehkan rakyat memahami secara lebih dekat penghayatan ibadah haji.
“Tahniah kepada penganjur dan urus setia atas kejayaan Penghayatan Hari Mabit. Semua rakyat dapat merasai apa yang bakal jemaah haji alami di Tanah Suci,” katanya ketika menyampaikan tausiah di Pusat Tarbiyah Nasrullah Pohon Buloh Pasir Mas pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengecam penganjuran himpunan yang memperjuangkan agenda LGBT oleh pemuda sebuah parti politik tempatan, menyifatkannya sebagai bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan budaya masyarakat.
“Kelantan kekal istiqamah menolak sebarang usaha normalisasi terhadap perkara yang bercanggah dengan fitrah dan ajaran agama. Kita wajib mempertahankan akhlak Islamiah dalam segala keadaan,” tegas beliau.
![]() |
YB Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas |
YB Ahmad Fadhli turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Jeli–Gerik, dan mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian tersebut.
Program Hari Mabit dan Hari Wukuf yang dijalankan secara serentak di seluruh Kelantan itu merangkumi pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, tazkirah, doa munajat dan zikir yang mampu memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap ibadah haji.
Sekali gus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membentuk masyarakat berteraskan nilai agama dan semangat ummah sejagat.
0 Comments