Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 26 Jun – Keprihatinan terhadap pengukuhan ekonomi wanita melalui seni warisan kraf tanah air terus disemarakkan apabila Tengku Puan Temenggong Kelantan YM Tengku Norhayati Tengku Abdul Rahman berkenan meninjau sesi latihan kemahiran sulaman kelingkan di Pusat Latihan Wanita OKU & Armalah (PLWOA) pada Rabu.
Kunjungan beliau ke Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu itu bagi melihat sendiri latihan yang disertai 17 wanita berbakat dalam seni kraf tradisional.
Beliau juga mendapat taklimat daripada Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKwa) Ilvira Mohd Dasuki berkenaan program yang dijalankan tiga kali seminggu itu merupakan hasil kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan melalui U-KekWa dengan Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC).
Sehubungan itu, Pengerusi MCC Nik Mohd Faiz Nik Mohd Amin berkata peserta-peserta telah dilatih dalam tiga peringkat asas sulaman kelingkan, bermula dengan bingkai asas, selendang, dan alas par.
"Setiap kumpulan terdiri daripada tiga hingga empat peserta berjaya menghasilkan selendang penuh dalam tempoh hanya 12 hari.
"Kejayaan ini menggambarkan dedikasi tinggi dan bakat yang luar biasa di kalangan peserta," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim yang mengiringi Tengku Puan Temenggong mengumumkan bahawa program sebegini akan diteruskan secara berkala.
"Kerajaan Negeri Kelantan melalui U-KeKWa sentiasa komited untuk meningkatkan kemahiran dan memperkasa ekonomi wanita melalui seni tradisional dan kemahiran tangan," jelasnya.
Sesi kunjungan itu diakhiri dengan lawatan ke bengkel dan sesi bergambar kenang-kenangan bersama para peserta dan jurulatih.
0 Comments