Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN LANCAR PROJEK TANAMAN BAWANG, SASAR KURANG KEBERGANTUNGAN IMPORT

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh: Shuhada Hadzri

BACHOK, 26 Jun – Kelantan terus memperkukuh kedudukan sebagai negeri peneraju sektor pertanian apabila melancarkan Projek Tanaman Bawang Negeri Kelantan Tahun 2025 di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, di sini, hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud melibatkan pelaksanaan projek perintis oleh 52 usahawan tani di 37 lokasi dengan keluasan keseluruhan 26.85 hektar di seluruh negeri.

Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan kepada import bawang yang kini mencecah 100 peratus.

“Pada tahun 2022 sahaja, negara telah mengimport 685,400 tan metrik bawang bernilai RM1.58 billion. Kebergantungan ini menjadikan kita terdedah kepada risiko gangguan bekalan dan ketidaktentuan harga antarabangsa” katanya.


Tambah beliau, projek tanaman bawang merupakan sebahagian daripada usaha menyokong sasaran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mencapai 30 peratus tahap sara diri (SSL) menjelang 2030.

Kelantan juga turut terpilih dalam salah sebuah negeri yang menjadi peneraju kepada projek berkenaan bersama-sama negeri lain iaitu Perak, Selangor, Perlis, Pulau Pinang dan Pahang.

Beliau yang diiringi Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, memaklumkan bahawa Kelantan komited untuk menjadikan negeri ini sebagai salah satu peneraju dalam pertanian moden dan kearah membina Kelantan sebagai jelapang makanan negara termasuk projek tanaman bawang yang menjadi salah satu komponen penting dalam usaha tersebut.

“Usaha ini bukan sahaja untuk bekalan makanan, tetapi juga bagi menjana pendapatan petani dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat” ujarnya.


Majlis itu turut melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta agensi-agensi seperti MARDI dan KESEDAR.

Turut hadir, wakil-wakil jabatan Kerajaan, ahli Parlimen dan pemimpin setempat, serta pegawai-pegawai jabatan pertanian.



Post a Comment

0 Comments