Oleh ARUS LEBIR 

CUKUP menarik apabila sebuah pusat kajian politik meramalkan Kerajaan Madani diterajui Anwar Ibrahim berpotensi besar kekal mentadbir penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.


Itu pun kata Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian sekiranya tiada kejutan besar terhadap ekonomi negara atau landskap politik dalam masa terdekat.


Menurut kajian tersebut segmen bawah umur 30 tahun menunjukkan kadar sokongan lebih tinggi terhadap Anwar, sekitar 60 peratus.


Ia berbeza berbanding golongan pertengahan berumur antara 30 hingga 50 tahun.


"Generasi muda diperhatikan ada kecenderungan terhadap kestabilan kerajaan, mereka mahu melihat usaha menjana pelaburan serta pertumbuhan ekonomi yang akan memberi kesan positif jangka panjang," lapor sebuah laman berita.


Karikatur


Mungkinkah kajian itu dibuat sebelum sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) membakar karikatur Anwar baru-baru ini. 


Pelajar terbabit dilapor menamatkan protes selama 22 jam sebagai membantah gejala rasuah dengan membakar poster tertera foto perdana menteri.


Media melaporkan seramai 13 pelajar UMS dikenal pasti terbabit perhimpunan 'Gempur Rasuah 2.0'. Mereka berkemungkinan berdepan tindakan tatatertib, termasuk penggantungan atau dibuang universiti mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).



Mungkin juga kajian Merdeka Centre sebelum Angkatan Muda Keadilan Cabang Selayang meletakan jawatan beramai-ramai baru-baru ini. 


Menurut media, timbalan ketua pemuda Muhammad Amir Sahmat, naib ketua Lee Fook Onn serta 12 daripada 14 ahli jawatankuasa meletakkan jawatan.


Mereka tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti itu bulan lalu.


Biar pun kemungkinan ia dikaitkan dengan kumpulan bekas Timbalan Presiden Rafizi Ramli, namun situasi tersebut tidak memperlihatkan anak muda semakin dekat dengan Anwar. 


Malah, Lawyers for Liberty (LFL) mempertahankan tindakan pelajar membakar karikatur perdana menteri semasa demonstrasi.



Katanya tindakan seumpama itu sebagai protes demokratik yang sah dan tidak seharusnya didakwa sebagai jenayah.


Pengarah LFL, Zaid Malek turut mengingatkan pemimpin kerajaan tentang sejarah aktivisme mereka, di mana Anwar didakwa pernah membakar bahan berkaitan bekas perdana menteri Tunku Ab Rahman.

“Apakah kita sudah lupa bahawa PM sendiri pernah mengetuai pembakaran buku tulisan Tunku Ab Rahman pada tahun 1970-an, ketika masih bergelar mahasiswa," katanya pada kenyataan.


Pejam mata


Beliau turut menganggap pentadbiran Madani 'memejam sebelah mata' terhadap isu rasuah di Sabah melibatkan sekutu politiknya.



Berdasar perkembangan tersebut dapatan kajian Merdeka Centre agak asing dengan apa yang berlaku dalam kalangan anak muda sekarang. 


Lantas PRU-16 kemungkinan mengulangi sejarah PRU-15 apabila tiada parti mampu meraih majoriti mutlak seperti era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (1.0).


PRU-16 bagi empat negeri pada Ogos 2023 juga tidak memperlihatkan koalisi PH dan BN dapat mengumpul jumlah undi lebih besar. 


Malah, Perikatan Nasional (PN) berjaya meningkat jumlah kerusi di Selangor dan Pulau Pinang. Manakala di Terengganu tiada kerusi Dun dan parlimen dimenangi PH dan BN. Di Kelantan BN hanya mampu mempertahankan Dun Galas dan PH menang di Kota Lama. 


Di sebalik gambaran anak muda membentuk konfigurasi, Merdeka Centre 

memberitahu golongan bekerja pula berdepan tekanan kos sara hidup tinggi.


Selain itu, kadar kenaikan pendapatan dilihat tidak mencukupi sehingga timbul persepsi langkah kerajaan belum cukup berkesan membantu rakyat.


"Pengaruh media sosial mengenai definisi kejayaan turut menambah tekanan, mengakibatkan kekecewaan kerana gagal mencapai impian alam maya itu," katanya.


Hasil kajian tersebut Merdeka Centre merumuskan 55 peratus pengundi masih mempercayai Anwar.


PRN Sabah 


Apa pun tumpuan sekarang lebih terarah ke Sabah. Ini kerana Dewan Undangan Negeri Sabah dijangka dibubarkan pada Ogos bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).


Menurut Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ruddy Awah, jangkaan itu bersesuaian dengan tempoh Dun Sabah dijadualkan tamat pada Oktober 2025.


Sehingga hari ini GRS dilihat lebih selesa bertanding bersendirian biar pun membentuk kerajaan bersama PH Plus sekarang. 


Begitu juga Warisan. GRS dan Warisan merupakan parti tempatan. Ia berbeza dengan PH yang dicop parti semenanjung. 


Sekiranya GRS yang didominasi bekas pemimpin Bersatu boleh kompromi dengan PN sudah tentu kekuatan lebih terserlah. PH pula bukan parti berlatar belakang Sabah. 

Jangkaan kenaikan mendadak harga barang keperluan asas dengan perluasan SST dan peningkatan tarif elektrik mulai Julai ini membuatkan PH semakin tidak popular. 


Berdasar asas itu, GRS kelihatan lebih selesa bertanding di semua 73 kerusi Dun Sabah. Gabungan parti itu dijangka bertembung dengan PH dan Warisan. 


Nah, sekarang masanya untuk membuktikan benarkah anak muda sokong perdana menteri. Tidak kah Yusof Rawhter juga anak muda.