Ticker

6/recent/ticker-posts

REBAN TERNAKAN AYAM PEDAGING TERTUTUP AUTOMATIK RONG CHENOK, MULAKAN OPERASI


Oleh: Asri Hamat

PASIR MAS, 25 Jun- Reban ternakan ayam pedaging tertutup automatik 1.0 di Rong Chenok telah memulakan operasi apabila pelepasan anak ayam pedaging untuk pusingan pertama telah disempurnakan oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, hari ini.

Menurut YB Dato' Tuan Mohd Saripudin, reban tertutup automatik yang menelan kos sebanyak RM1.4 juta tersebut mampu memuatkan sebanyak 25,000 ekor ayam untuk satu pusingan.

"Reban tertutup ini mampu memuatkan sebanyak 25,000 ekor ayam untuk satu-satu pusingan, namun hari ini kita lepaskan sebanyak 18,000 ekor. Setiap pusingan mengambil masa selama 32 hari untuk ayam tersebut matang dan boleh mencapai berat purata 1.5 kilogram seekor.

"Selepas dituai, reban tersebut dibiarkan untuk beberapa minggu sebelum pelepasan anak ayam untuk pusingan kedua dilakukan. Dalam setahun, reban ayam tertutup automatik ini boleh beroperasi untuk enam pusingan."


Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pelepasan Anak Ayam di Reban Ayam Tertutup Automatik 1.0 dan Perasmian Tapak Pembinaan Reban Ayam Tertutup Automatik 2.0, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) di Ladang Rong Chenok, Pasir Mas hari ini.

Menurut beliau lagi, selepas ini akan dibina dua lagi reban tertutup automatik dengan kos pelaburan sebanyak RM2 juta.

"Pembinaan reban ayam tertutup ini adalah selari dengan dasar Kerajaan Malaysia yang menetapkan, menjelang tahun 2030 semua reban ayam termasuk ayam pedaging dan ayam telur mesti menggunakan sistem reban tertutup sepenuhnya, menggantikan kaedah reban terbuka.

“Pembinaan reban ayam tertutup ini bertujuan untuk menjaga kesihatan ayam, mengurangkan gangguan persekitaran dan meningkatkan kualiti ayam. Kadar kematian ayam juga lebih rendah berbanding sistem reban terbuka.


"Reban ayam tertutup ini juga menggunakan teknologi terkini dan automatik yang tidak memerlukan banyak tenaga. Hanya tekan satu suis sahaja untuk memberi makanan dan air kepada semua ayam,"katanya

Jelasnya lagi, Kelantan dikenal pasti sebagai negeri dengan kadar pengambilan ayam tertinggi, dengan kemasukan ayam ke negeri ini mencecah antara 150,000 hingga 200,000 ekor setiap hari, bernilai lebih sejuta ringgit, namun belum mencukupi.

“Dengan adanya reban ayam tertutup seperti ini dapat menampung permintaan ayam di Kelantan dan kita berharap rakyat Kelantan dapat menikmati ayam yang lebih segar, sihat dan diternak secara kendiri. Kita juga memberi makanan permulaan khas untuk pertumbuhan ayam. Selepas ini insya-Allah, kita akan membina kilang pemprosesan makanan ayam sendiri.

"Kilang pemprosesan tersebut akan menggunakan bahan-bahan yang disediakan sendiri bagi memastikan makanan ayam yang dihasilkan adalah halal, bersih dan berkualiti tinggi. Langkah ini dijangka dapat mengelakkan ayam daripada mengandungi unsur yang tidak diingini, sekaligus membekalkan ayam yang halal dan toyyib untuk rakyat," katanya.


Untuk rekod, projek pembinaan reban ayam tertutup adalah gabungan kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kerajaan Negeri Kelantan, di mana peruntukan pembinaan reban dari KPKM dan kerajaan negeri menyediakan tapak pembinaan.

Selepas majlis pelepasan anak ayam dan perasmian tapak pembinaan reban tertutup 2.0, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin turut melepaskan induk ikan air tawar di Pusat Pembenihan Akuakultur PKPNK, seterusnya ke pusat tanaman fertigasi sawi dan cili.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir, YB Mohamad Nasriff Daud, ADN Chetok, YB Zuraidin Abdullah, Wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri serta pegawai PKPNK.

Post a Comment

0 Comments